PETALING JAYA: Dewan Undangan Negeri Perak hari ini melantik seorang bekas wakil rakyat Umno sebagai speaker baru.
Mohammad Zahir Abdul Khalid, dahulunya Adun Kamunting, menggantikan ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dari DAP, dengan sokongan 35 daripada 59 wakil rakyat.
“32 Adun kerajaan dan 3 Bebas setuju usul untuk mengosong kerusi speaker…Zahir seorang yang berpengalaman dalam sidang DUN, bekas exco Perak, dan seorang pengamal undang-undang,” kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.
Faizal membentangkan usul melantik speaker baru pada mesyuarat pertama tahun ke-3 DUN Perak bagi penggal ke-14 hari ini. Usul dikemukakan pada 4 Mei, iaitu 2 minggu sebelum pembukaan DUN.
Beliau akui berlaku perbalahan antara wakil rakyat pemerintah dan pembangkang ketika usul dibentang, tetapi Pakatan Harapan terpaksa terima memandangkan Perikatan Nasional mempunyai majoriti sokongan.
Kerajaan PH tumbang di Perak pada 9 Mac selepas 7 wakil rakyat mereka menyokong pembentukan PN, yang dapat membentuk majoriti dengan 35 Adun.
Sementara itu, Adun Kubu Gajah, Khalil Yahaya dari PAS dilantik sebagai timbalan speaker.
Zahir pada sidang media memberi jaminan beliau bukan speaker “dewan PN”.
“Saya speaker DUN Perak dan akan cuba berlaku adil dan saksama kepada semua adun-adun dan memastikan semua berjalan tertib,” katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kepada speaker dan timbalannya yang lepas kerana menjalankan tugas dengan baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan