Perkara itu diputuskan dalam Persidangan Pertama Penggal Ketiga DUN Melaka ke-14 yang dipengerusikan sementara oleh Ghazale Muhamad (BN-Rim).
Pelantikan Ab Rauf diterima selepas mendapat sokongan majoriti 16 daripada 17 Adun Perikatan Nasional, manakala semua wakil pembangkang pula tidak hadir ketika undian dibuat.
Usul pelantikan itu dibacakan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan disokong Abd Ghafaar Atan (BN-Asahan) dan mendapat sokongan 15 Adun kerajaan yang lain.
Terdahulu, rakan media yang membuat liputan di sana memaklumkan, persidangan DUN Melaka di Seri Negeri hari ini terpaksa ditangguhkan selepas berlakunya kekecohan dan perang mulut antara wakil rakyat pembangkang dan kerajaan.
Persidangan yang bermula jam 9.30 pagi itu kecoh apabila Idris Haron (BN-Sungai Udang) mendakwa Speaker DUN Omar Jaafar tidak layak berada di kerusi itu kerana tidak mendapat sokongan majoriti ahli dewan.
Perang mulut antara mereka berlanjutan selepas Idris melemparkan buku peraturan dewan ke arah Omar sebelum beberapa wakil rakyat pembangkang turut bangun hingga dewan gamat.
Malah ada antara mereka yang meminta bekas ketua menteri Melaka itu dihalau keluar kerana menghina dewan yang baru berlangsung kira-kira 30 minit.
Dewan semakin panas selepas Omar memaklumkan usul pihak kerajaan untuk menukar pengerusi persidangan ditolak oleh speaker.
Dalam masa sama, Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) turut didakwa diprovokasi oleh Low Chee Leong (DAP-Kota Laksamana) sehingga kedua-dua wakil rakyat itu terpaksa ditenangkan oleh wakil rakyat lain sebelum bentara datang.
Selain itu, media juga tidak dibenarkan membuat sebarang liputan dalam dewan ketika sidang DUN berlangsung termasuk tiada sebarang siaran langsung dipaparkan.
Difahamkan hanya media rasmi sahaja dibenarkan membuat liputan hari ini.
Kerajaan PH Melaka tumbang pada 2 Mac lalu selepas 2 Adun mereka menyokong pembentukan PN yang kemudian menguasai kerusi DUN dengan 17 wakil.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan