Ahad, 20 Mei 2018

SKMM: Sekat Mkini malam PRU14 'demi ketenteraman awam'

malaysiakini

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) mengarahkan paling kurang 11 Penyedia Khidmat Internet (ISP) bagi menyekat keputusan siaran langsung Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang dibawakan Malaysiakini pada malam pengiraan undi.

Perkara ini diketahui menerusi salinan e-mel dari Jabatan Pengurusan Media Rangkaian di bawah Bahagian Pengawasan Digital SKMM yang menyatakan arahan itu dikeluarkan pada jam 9.13 malam di malam pengiraan undi, seperti yang dilaporkan dilihat portal dalam talian The Malay Mail.

Menurut laporan itu, emel berkenaan bukan sahaja di hantar ke TM (dan anak syarikatnya Webe) serta Maxis tetapi ke ISP lainnya seperti Celcom, Digi, YTL, TIME, Mykris, Redtone, Aries Telecoms dan Extreme Broadband.

Syarikat lain yang mendapat emel SKMM itu termasuklah firma perkhidmatan teknologi maklumat kerajaan HeiTech Padu Bhd, pusat data AIMS dan Hitachi Sunway Information Systems, serta firma khidmat rangkaian Global Transit Communications Sdn Bhd.

Arahan SKMM itu ditarik balik dalam suatu lagi emel yang dihantar pada 11.15 malam yang sama.




Suatu kajian yang dibuat kumpulan ketelusan digital Sinar Project juga mengesahkan susulan arahan SKMM itu, TM Net dan Maxis menyekat akses ke laman live.undi.info yang dibuat Malaysiakini bagi menyampaikan siaran langsung keputusan PRU14.

SKMM dilaporkan berkata mengeluarkan arahan sekatan mengenai "kemaskini langsung keputusan PRU14" pada malam pengundian kerana takut laporan berkenaan boleh menjejaskan "kestabilan negara, ketenteraman awam dan keharmonian, dan kestabilan ekonomi".

Ini juga dinyatakan dalam satu salinan permintaan sulit SKMM pada 9 Mei kepada pelbagai ISP, seperti dilaporkan The Malay Mail.

MCMC dalam permintaannya telah meminta laman web live.malaysiakini.com, live.undi.info dan undi.info untuk disekat atau aksesnya diarahkan semula ke alamat IP 175.139.142.25 - alamat yang digunakan itu memaparkan notis standard undang-undang kerajaan bahawa laman itu telah disekat.




"Suruhanjaya dengan ini memohon supaya anda melakukan tindakan di bawah Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkenaan dengan URL / alamat web berikut," kata surat yang ditandatangani Ketua Pegawai Operasi SKMM Datuk Mazlan Ismail (gambar), bagi pihak pengerusinya, Tan Sri Halim Shafie.

"Khusus untuk permintaan ini, disebabkan sifat kesalahan yang boleh menjejaskan kestabilan negara, ketenteraman awam dan keharmonian, dan kestabilan ekonomi, anda dikehendaki melakukan pengalihan (akses) segera."

Alamat live.malaysiakini.com merujuk kepada liputan langsung keputusan PRU14 oleh Malaysiakini, sementara laman live.undi.info pula versi "liputan langsung" bagi undi.info, yang merupakan pangkalan data penggubal undang-undang dan calon pilihan raya, yang juga dijalankan oleh Malaysiakini.

Tiada ulasan: