Setiausaha publisiti DAP itu memperoleh 78% daripada
jumlah 136,280 pengundi atau 83% yang keluar mengundi apabila
memperoleh 121,283 undi manakala Ho mendapat 14,380 undi dan Wong hanya
mendapat 617 undi.
KUALA LUMPUR: Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berjaya menempa nama dalam sejarah pilihan raya umum (PRU) negara apabila mencatatkan majoriti paling besar di kerusi Parlimen Damansara pada edisi PRU ke-14 kali ini.
Dalam persaingan 3 penjuru di kerusi yang sebelum ini dikenali Petaling Jaya Utara, Pua mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 106,903 undi dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dari MCA, Ho Kwok Xheng dan calon PRM, Wong Mun Kheong.
Pua memperoleh 78% daripada jumlah 136,280 pengundi atau 83% yang keluar mengundi apabila memperoleh 121,283 undi manakala Ho mendapat 14,380 undi dan Wong hanya mendapat 617 undi.
Kerusi Parlimen Damansara juga merupakan kerusi dengan paling ramai pengundi berdaftar iaitu seramai 164,322 pemilih selepas kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat, Mac lepas.
Undi majoriti terkecil pula direkodkan di kerusi Parlimen Tasek Gelugor di Pulau Pinang apabila penyandangnya dari BN, Datuk Shabudin Yahaya hanya mampu mempertahankan kerusi itu dengan kelebihan 81 undi setelah meraih 18,547 undi.
Pencabarnya, Marzuki Yahaya (PKR-PPBM) dan Rizal Hafiz Ruslan (PAS) masing-masing mendapat 18,466 dan 14,891 undi.
Kerusi Parlimen itu mempunyai 60,850 pemilih berdaftar dan 85% atau 51,904 keluar mengundi.
Prestasi Shabudin kali ini adalah amat jauh berbeza berbanding pada PRU13 apabila beliau memperoleh majoriti 3,042 undi dalam pertandingan 3 penjuru.
PRU14 selain mendapat jolokan sebagai PRU yang paling sengit dipertaruhkan dalam sejarah Malaysia, ia juga akan diingati oleh seluruh rakyat Malaysia apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dikembalikan sebagai Perdana Menteri untuk kali keduanya.
Sebelum ini beliau berkhidmat sebagai perdana menteri yang ke-4 selama 22 tahun daripada 1981 hingga 2003. Dr Mahathir yang bertanding pada umur 92 tahun di kerusi Parlimen Langkawi juga merupakan calon PRU tertua bertanding.
Jika Dr Mahathir merupakan calon tertua, calon Bebas, pelajar jurusan undang-undang berumur 22 tahun, P. Prabakaran, pula diangkat menjadi anggota Parlimen termuda.
Prabakaran menang dengan majoriti 24,438 undi bagi kerusi Parlimen Batu di Kuala Lumpur apabila mengalahkan tiga lagi pencabarnya.
Beliau meraih 38,125 undi diikuti calon BN, Dominic Lau (13,686), calon PAS, Azhar Yahya (10,610) dan calon Bebas, Datuk V.M. Panjamorthy yang hanya memperoleh 383 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan