Ahad, 24 Mac 2019

JOHOR RUGI TOLAK BN-HASNI


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata penolakan rakyat negeri Johor terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) merupakan satu kerugian.

Katanya penolakan tersebut telah membuatkan beberapa usaha progresif yang dijalankan kerajaan negeri terdahulu tidak dapat diteruskan.

Katanya perkara yang paling terkesan ialah gagasan Dekad Baharu Johor untuk 10 tahun gagal dilaksanakan berikutan perubahan kerajaan negeri.

“Bagaimanapun malang pengundi di Johor telah menolak BN dan memilih Pakatan Harapan (PH) kerana terpedaya dengan janji-janji manis yang ditaburkan mereka semasa kempen PRU-14.

“Begitu juga dengan projek yang memberi manafaat kepada ekonomi dan rakyat di negeri ini tidak dapat diteruskan seperti projek Kereta Api Laju Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR),” katanya ketika berucap dalam majlis Perpaduan Ummah bersama Parti PAS di Pekan Ayer Baloi, Johor pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Hasni yang juga merupakan ketua pembangkang negeri berkata, Dekad Baharu Johor yang dicetuskan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin akan menjadikan Johor sebuah negeri termaju dalam tempoh tersebut.

Katanya pembatalan projek mega yang lain turut memberi impak negatif kepada generasi muda.

“Berapa ramai anak-anak muda di Johor telah kehilangan peluang perkerjaan yang dapat diwujudkan sekiranya projek HSR dilaksanakan termasuk dalam bidang latihan dan sebagainya,” katanya.


Tiada ulasan: