Kem pengerusi Bersatu yang dipertikaikan jawatannya, Dr Mahathir Mohamad tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil PRK Dun Chini yang bakal diadakan 4 Julai nanti.
Keputusan itu diambil selepas PKR mengumumkan untuk tidak bertanding di kerusi itu yang dimenangi BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Setiausaha Politik kepada Mahathir, Abu Bakar Yahya, berkata Dun Chini adalah kerusi yang ditandingi PKR mewakili Pakatan Harapan (PH).
"Tak adalah (tak letak calon), kerusi itu kuota PKR," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Ditanya sama ada kem bekas perdana menteri itu ada membincangkan untuk meletak calon bertanding, Abu Bakar secara ringkas berkata: "Setakat ini tidak ada (sebarang perbincangan)," katanya lagi.
Pada 6 Jun lalu, PKR mengumumkan bahawa parti itu tidak akan meletakkan calon bagi PRK di dewan undangan negeri Chini.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberitahu Malaysiakini bahawa ia juga bermakna Pakatan Harapan (PH) tidak akan meletakkan calon.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, partinya membuat keputusan itu selepas mengambil kira masalah Covid-19 yang masih belum ditangani sepenuhnya dalam negara.
Selaras dengan keputusan PKR itu, Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berharap agar BN diberi kemenangan percuma di situ tanpa ada mana-mana parti lain meletakkan calon termasuk Bebas.
Wan Rosdy yang juga menteri besar Pahang berkata ia selaras dengan pendirian Mahathir bahawa pilihan raya tidak sesuai diadakan ketika ini meskipun merujuk dalam konteks persekutuan.
Malah katanya, jika PRK Chini tidak diadakan ia boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM4.3 juta.
PRK Dun Chini diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu.
Allahyarham berjaya mempertahankan kerusi itu selama empat penggal bermula PRU ke-11.
Pada PRU ke-14 lalu, Allahyarham yang mesra dipanggil "Datuk Burn" atau Ayah Nga dalam kalangan penduduk memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti besar, 4,622 undi.
Allahyarham meraih 10,027 undi berbanding calon PAS ketika itu, memperolehi 5,405 undi dan calon dari PKR hilang wang pertaruhan apabila hanya mendapat 1,065 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan