Ahad, 31 Mei 2020

Penjelasan Muhyiddin bukti tolak ansur Presiden Bersatu - Syed Ali

Penjelasan Muhyiddin bukti tolak ansur Presiden Bersatu - Syed Ali
Syed Ali menjelaskan, rakyat kini mahu Muhyiddin meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri kelapan sehingga PRU ke-15. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Penjelasan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu keahlian Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima lagi pemimpin parti itu boleh diterima umum.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee sebaliknya menegaskan, Dr Mahathir memilih haluan berbeza dengan bersekongkol bersama Pakatan Harapan (PH) pada saat Pemangku Pengerusi Bersatu itu sudah banyak bertolak ansur dan memberi ruang kepadanya untuk memperkukuhkan parti.

"Saya tidak berniat untuk mencampuri urusan politik songsang Dr Mahathir, tetapi sebagai rakyat, saya tidak mahu melihat sifat dendam Dr Mahathir terhadap Muhyiddin akan merosakkan negara dan menyusahkan kehidupan semua.

"Apa sebenarnya yang Dr Mahathir mahu? Takkan dengan usia lanjut itu beliau masih lagi ketagih untuk jawatan Perdana Menteri? Apakah beliau mahu jawatan itu dijadikan harta pusaka agar diwarisi oleh keturunannya sahaja? Apakah lebih 30 juta rakyat ini tidak layak dan hanya beliau seorang sahaja yang selayaknya menjadi Perdana Menteri?

"Pada pemerhatian saya, Dr Mahathir selalu berhelah dengan mendakwa untuk 'mengembalikan mandat rakyat' dan Muhyiddin perlu dijatuhkan. Saya hendak tanya, rakyat mana?" soalnya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Sabtu.


BACA: Tiada individu atasi perlembagaan parti - Muhyiddin

BACA: 
Kelima-lima mereka tidak dipecat, tetapi keahlian mereka terhenti - Hamzah Zainuddin

Sebelum ini, Muhyiddin menjelaskan beliau tidak mengambil tindakan terburu-buru dan mahu berlaku adil kepada semua pihak walaupun banyak desakan supaya tindakan diambil lebih awal.

Dalam pada itu, Syed Ali menjelaskan, rakyat kini mahu Muhyiddin meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri kelapan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

"Jika Dr Mahathir berhajat untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara, beliau sewajarnya menyokong Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan Perdana Menteri selain boleh berkhidmat selaku seorang Negarawan yang dihormati.

"Maruah Dr Mahathir tidak akan 'jatuh' jika menyokong perpaduan rakyat dan berlapang dada dengan 'berketuakan' Muhyiddin selaku Perdana Menteri yang sah di segi undang-undang dan Perlembagaan negara. Percayalah, Dr Mahathir tidak akan melakukan 'kesilapan lagi' dengan memilih Muhyiddin.

"Rakyat juga sudah letih dengan adu domba politik yang sedang berlaku ini, di masa negara sedang dilanda COVID-19," ujarnya.

Terdahulu, keahlian lima Ahli Parlimen Bersatu iaitu Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik diumum dihentikan kerana dilihat melanggar perlembagaan parti.

Tiada ulasan: