PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bersama 5 pemimpin PPBM lain yang “terhenti” keahlian memfailkan tuntutan untuk membatalkan pemberhentian itu.
Mereka menamakan Presiden Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Hamzah Zainudin, Setiausaha Kerja Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan dalam tindakan sivil itu.
Peguam Haniff Khatri Abdullah yang mewakili mereka berkata penyata tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Selain Mahathir, 5 yang lain ialah anaknya Mukhriz, bekas menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Maszlee Malik, bekas timbalan menteri Amiruddin Hamzah dan Marzuki Yahya, serta PPBM turut dinamakan sebagai plaintif.
Mereka berhujah keputusan memberhentikan keahlian mereka tidak sah kerana Suhaimi tiada kuasa menyingkirkan mereka dari PPBM, serta jawatannya tidak diiktiraf di bawah perlembagaan parti.
“Pemberhentian kami atas alasan kami mengingkari parti dengan duduk di blok pembangkang dalam Dewan Rakyat.
“Tidak betul untuk menggunakan Artikel 10.2.2 atau 10.2.3 perlembagaan PPBM terhadap kami kerana kedua-dua peruntukan itu menyatakan ahli yang menyertai parti politik lain atau meletak jawatan dari PPBM akan terhenti keahlian mereka,” kata mereka sambil menambah mereka tidak meninggalkan PPBM.
Mereka turut mendakwa Muhyiddin menggunakan kuasanya
“secara salah” dalam mengumumkan beliau ialah pemangku pengerusi pada 28 Feb lalu.
“Beliau kemudiannya membuat pengumuman untuk PPBM meninggalkan Pakatan Harapan berdasarkan keputusan pada 24 Feb oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
“Kami berhujah tiada keputusan dibuat ahli MPT untuk tujuan itu.”
Mereka berkata, mesyuarat tergempar MPT diadakan pada 25 Feb dan memutuskan Mahathir kekal sebagai pengerusi.
Bagaimanapun, katanya, defendan pertama Muhyiddin tampil dengan kenyataan pada 28 Feb mengumumkan beliau ialah pemangku pengerusi dan ini bertentangan keputusan MPT.
Mereka mendakwa Muhyiddin melakukan “penstrukturan semula” jawatan dalam MPT dan “mengenepikan atau memansuhkan” penglibatan beberapa individu yang tidak menyokong kepimpinan Muhyiddin.
“Kami akan mengemukakan bukti untuk menyokong tuntutan ini,” kata mereka.
Selain mengembalikan keahlian, mereka memohon untuk membatalkan keahlian Muhyiddin, Hamzah dan Suhaimi atas alasan mereka menyertai Perikatan Nasional.
Awal bulan ini, MPT PPBM mengesahkan keahlian plaintif itu dihentikan.
Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq, Maszlee dan Amiruddin menolak keahlian mereka dihentikan dan bertegas mereka tidak melanggar perlembagaan parti dengan duduk di blok pembangkang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan