PETALING JAYA – Datuk Seri Rina Harun menafikan khabar angin beliau akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah kepimpinan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, beliau masih merupakan ahli Bersatu dan juga Ketua Srikandi.
Ia sekaligus menidakkan segala tohmahan tidak berasas yang diuar-uarkan di dalam media sosial sejak akhir-akhir ini.
Rina juga menyatakan kekesalan terhadap pihak tertentu yang menyebarkan maklumat tidak benar mengenai pendirian dan kedudukannya dalam parti.
“Nama saya sejak wujud krisis perlembagaan parti ini, makin popular diuar-uarkan bahawa kononnya saya akan letak jawatan dari parti.
“Ingin saya jelaskan bahawa sehingga ini saya merupakan ahli parti PPBM yang sah dan juga Ketua Srikandi parti dan mendukung perlembagaan parti dengan menyokong kepimpinan di bawah Presiden dan juga Pemangku Pengerusi PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya ingin menyeru supaya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan pelbagai polemik politik selepas ini dengan pendirian saya ini yang dapat membersihkan nama saya dari pelbagai tohmahan itu,” katanya kepada pemberita di Hotel Sofitel Bukit Damansara petang tadi.
Beliau ditemui selepas hadir bersama seorang lagi Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Penerangan Bersatu, Mohd Radzi Jidin.
Katanya, fokus pihaknya dengan kementerian adalah ke arah pandemik Covid-19 yang kini meruncingkan keadaan segala industri dan rakyat secara umum.
Tambah beliau, fokus utama pihaknya adalah terdapat banyak perancangan yang direncanakan untum rakyat menghadapi pandemik bagi memenangi rantaian Covid-19 itu.
“Pagi tadi Kementerian saya membincangkan banyak perkara untuk dirancang dan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat khususnya bagaimana hendak memastikan rakyat berbilang bangsa mengamalkan norma baharu kehidupan semasa Covid-19.
“Tanpa mengira agama dan bangsa semua pihak harus menggembleng tenaga dan bersatu hati untuk menghadapi Covid-19 dan tanpa sokongan semua pihak ia tidak akan terlaksana,” ujarnya.
Ditanya mengenai tindakan puak kedua dalam Bersatu yang melakukan pelbagai percubaan menggulingkan kepimpinan Muhyiddin – Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menjelaskan perkara itu tidak seharusnya berlaku.
“Sya rasa parti sebentar tadi sudah menyatakan pendirian mereka menerusi kenytaan dan sidang media bagaimanapun, apa yang dilakukan pihak di sebelah sana (Tun M) adalah tidak wajar.
“Mereka sepatutnya mengenepikan politik ke tepi dan membantu kerajaan memerangi Covid-19 bukannya mengeruhkan keadaan dengan mencetuskan pelbagai polemik politik yang menyusahkan semua pihak..tidak wajarlah. Tolonglah hentikan semua perbuatan ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan