KESESAKAN luar biasa dilaporkan berlaku di lebuhraya utara selatan (PLUS) menuju utara di sepanjang Pagoh – Port Dickson.
Sejak petang tadi, beberpa kilometer sebelum susur masuk dari Plaza Tol Pagoh mulai sesak menyebabkan aliran kenderaan terhenti seketika.
Kemudian aliran trafik bergerak sangat perlahan dan sesak di beberapa kawasan sebelum Plaza Tol Tangkak dan Jasin.
Situasi yang sama turut dilihat sebelum susur di Plaza Tol Ayer Keroh sehingga hentian R&R Ayer Keroh.
Kesesakan juga dilihat berlaku di beberapa kawasan sepanjang dari Plaza Tol Alor Gajah, Melaka menuju ke Seremban, Negeri Sembilan.
Situasi ini dianggap luar biasa kerana kesesakan jarang berlaku di bahagian Utara Johor pada hujung minggu.
Selain aliran trafik, beberapa hentian seperti di R&R Pagoh, Ayer Keroh dan Seremban dilihat sesak dengan kehadiran pengguna lebuh raya.
Kesesakan ini dipercayai berpunca daripada orang ramai yang kembali pulang ke ibu kota selepas menyambut Aidiladha.
Dalam tinjauan wartawan Suara Merdeka dari Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur, beberapa kenderaan Peronda Plus kelihatan di beberapa tempat bagi membantu pengguna memerlukan bantuan.
Selain itu, kenderaan pihak berkuasa juga dilihat berada dekat beberapa kawasan bagi memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya dan tidak menggunakan lorong kecemasan sesuka hati.
Sambutan Aidiladha kali ini dimanfaatkan sepenuhnya rakyat Malaysia untuk pulang ke kampung susulan mereka tidak dapat pulang pada Aidilfitri lalu.
Faktor kesesakan juga berlalu susulan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tiada sekatan merentas negeri dikuatkuasakan pada Aidiladha.
Oleh demikian, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan pulang ke rumah masing-masing.
Ini kerana bagi mengelak daripada berlaku perkara tidak diingini ketika berhadapan dengan kesesakan di lebuh raya.
Bermula 1 Ogos, penguatkuasaan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dijalankan selepas kerajaan mewajibkan penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka di tempat awam.
Justeru, pengguna lebuh raya yang ingin singgah di R&R perlu memakai pelitup muka dan mematuhi SOP penjarakan sosial. – SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan