Isnin, 3 Ogos 2020

Seksyen C ECRL masih dalam proses dimuktamad – Ka Siong

Wartawan MalaysiaGazette
MGF15072020_SIDANG-DEWAN-RAKYAT06-1-681x454
Dr. Wee Ka Siong.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang dalam proses untuk memuktamadkan laluan dan stesen bagi Seksyen C (jajaran Mentakab-Pelabuhan Klang, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, proses ini perlu dijalankan untuk kerajaan mengambil kira beberapa faktor seperti daya maju projek, kesalinghubungan rel dan implikasi kewangan sebelum kelulusan diberikan bagi jajaran ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang bertanya adakah terdapat sebarang perubahan yang akan berlaku terhadap jajaran baru ECRL
seperti yang telah diumumkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan terdahulu.

Projek ECRL membabitkan tiga bahagian.

Selain Seksyen C, ia turut terbahagi kepada Seksyen A (jajaran dari Kota Bharu – Dungun), Seksyen B (jajaran dari Dungun – Mentakab) dan Seksyen C (jajaran dari Mentakab – Pelabuhan Klang).

Sebelum ini Ka Siong memberitahu bahawa kenyataan Pakatan Harapan (PH) yang mengatakan perjanjian tambahan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berjaya memberi penjimatan sebanyak RM21.5 bilion berbanding perjanjian asal tidak tepat.

Katanya, apabila ada pengecilan skala projek serta pengurangan skop kerja sudah semestinya menyebabkan kos pembinaan menurun berbanding perjanjian asal.

Bagaimanapun, kerajaan terpaksa menanggung pelbagai kos lain di samping terpaksa menanggung kos pembinaan tambahan dan komplikasi pengoperasian pada masa depan.

Tegasnya, setelah disemak secara mendalam, kadar unit bagi kos pembinaan samada struktur jejambat, terowong yang digunakan oleh kontraktor projek ECRL tidak pernah berubah atau dikurangkan meskipun jajaran baharu telah dicadangkan oleh PH.

Jajaran semasa ECRL, yang menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang, dijangkakan berharga RM44 bilion berbanding RM65.5 bilion yang diperuntukan oleh Kerajaan BN.

Untuk rekod, Seksyen C yang dicadangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional membabitkan lapan stesen iaitu dari Mentakab ke Pahang melalui Permatang Kuarza Klang Gate dengan terowong di Genting Sempah.

Jajaran baharu yang dicadangkan oleh PH pula lebih rendah tetapi hanya mempunyai tujuh stesen dari Temerloh, Pahang, melalui Kuala Klawang dan Nilai di Negeri Sembilan serta berakhir di Pelabuhan Klang. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: