Isnin, 3 Ogos 2020

Hukuman berat menanti pemandu mabuk

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata isu pemandu mabuk adalah
perkara yang dipandang serius oleh kerajaan khsususnya kementerian.

PETALING JAYA: Hukuman lebih berat akan dikenakan terhadap pemandu disabitkan kesalahan memandu dalam keadaan mabuk apabila Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda bagi meningkatkan hukuman kepada pesalah yang mengingkari undang-undang jalan raya.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, isu pemandu mabuk adalah perkara dipandang serius kerajaan khususnya kementerian, jika tidak dibendung dengan serius boleh membawa kesan buruk kepada pengguna jalan raya yang tidak bersalah.

Katanya, menurut kaji selidik dijalankan Kementerian Pengangkutan dari 21 Mei hingga 4 Jun lalu, seramai 97% daripada 345,000 responden bersetuju hukuman sedia ada bagi pemandu yang disabitkan kesalahan mabuk tidak memadai.

“Seramai 94% atau 324,409 responden juga mahu hukuman penjara atau denda ditingkatkan bagi memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya mengenai kesan negatif membabitkan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk.

“Sebagai strategi utama mencegah peningkatan kes ini, Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Akta 333 akan dipinda bagi meningkatkan hukuman berkaitan kepada pesalah yang mengingkari undang-undang jalan raya termasuk pemandu mabuk.

“Bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) dilaksanakan pada sesi Parlimen 27 Julai 2020 manakala bacaan ke-2 dan ke-3 turut dijadual pada sesi Parlimen kali ini. Secara spesifik, pindaan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 adalah komitmen kerajaan untuk memastikan tindakan tegas terhadap pesalah yang memandu secara melulu termasuk merempit,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Wee Ka Siong

Beliau menjawab soalan Hasan Bahrom (PH-Tampin) yang ingin tahu bilakah Kementerian Pengangkutan akan membentangkan RUU berkaitan kes pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.

Selain itu, Hasan juga ingin tahu apakah kerajaan akan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah berkenaan dan bagaimana kerajaan hendak memastikan pemandu tidak memandu dalam keadaan mabuk.

Ka Siong berkata, bidang kuasa kementerian adalah dari segi advokasi, mengenakan penguatkuasaan undang-undang dan pendidikan kepada rakyat supaya mereka patuh kepada peraturan.

“Bagi sesiapa yang melanggar peraturan, hukuman berat akan menanti anda. Kali ini, kerajaan lakukan dengan serius dan kita harap ia dapat sokongan semua pihak.

“Kita hendak tekankan kepada semua, sentuh sedikit saja alkohol, tidak boleh memandu,” katanya.

Mengenai soalan tambahan Nizar Zakaria (BN-Parit) yang mahu tahu apakah tindakan kerajaan menggalakkan mereka yang mabuk supaya tidak memandu, Ka Siong berkata: “Pihak kementerian menggalakkan syarikat e-panggilan seperti Grab untuk memperhebat kempen mereka supaya pengunjung pusat hiburan gunakan perkhidmatan e-panggilan.”

Tiada ulasan: