Khamis, 12 Disember 2019

PAS, Umno junjung kasih atas titah Tuanku Sultan

HARAKAHDAILY



SEMPENA hari Ulang Tahun Keputeraan yang ke-74, DYMM Tuanku Sultan Selangor kelmarin, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah mengingatkan rakyat Selangor agar tidak terkeliru dengan fakta sejarah sebenar berhubung perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) sehingga terlibat mengagung-agungkan pimpinan dan perjuangan mereka.

Titah Tuanku lagi walaupun PKM kononnya dikatakan menentang penjajah namun perjuangan mereka bukannya berlandaskan konsep pembentukan negara Malaysia Merdeka yang berteraskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.
Malah ramai anak-anak bangsa dari pelbagai keturunan termasuklah dari pihak Polis dan Angkatan Tentera Malaysia telah terkorban dan menanggung derita akibat aktiviti keganasan pihak PKM ini.

PAS dan Umno Negeri Selangor merafak sembah dan menjunjung kasih serta taat setia atas kebijaksanaan titah Tuanku Sultan itu dan menyeru seluruh penyokong dan ahli kedua-dua parti khususnya di Negeri Selangor agar mengambil iktibar dan mengutuk sebarang usaha mengelirukan fakta sejarah apatah lagi mengagung-agungkan pimpinan dan perjuangan PKM yang merupakan musuh negara itu.

Sehubungan dengan itu kedua-dua parti turut mahu menegur dan mengingatkan Adun DAP Sungai Pelek, YB Ronnie Liu Tian Khiew agar menarik balik kenyataannya sebelum ini yang pernah menyatakan simpati serta mengagung-agunkan perjuangan PKM dan segera memohon maaf pada Tuanku Sultan atas kebiadapannya itu.

Pada 1 Disember 2019 lalu YB Ronnie Liu telah hadir sebagai tetamu khas dalam satu majlis memperingati Ulang Tahun ke 30 Perjanjian Damai Hatyai yang diadakan di Kajang. Seramai lebih 300 veteran dan bekas pejuang PKM telah hadir dalam majlis berkenaan dan YB Ronnie Liu dalam ucapannya telah menyatakan simpatinya pada perjuangan PKM serta berbangga bahawa datuk dan abangnya pernah bersama perjuangan PKM.

PAS dan Umno Selangor turut menuntut agar dengan semangat titah Tuanku Sultan ini jangan lagi ada mana-mana pihak mengambil kesempatan menganjurkan apa-apa majlis atau keramaian bagi memperingati perjuangan pengganas PKM di Negeri Selangor.

Daulat Tuanku.

YBHG. DATUK MAT NADZARI BIN AHMAD DAHLAN
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor

YB DATO DR AHMAD YUNUS BIN HAIRI
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
Tarikh: 15 Rabiul Akhir 1441/ 12 Disember 2019 – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: