Sabtu, 15 Februari 2020

PH Harus Segera Tunaikan Janji Tubuh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Tabung Haji



KUALA LUMPUR,– Muafakat Nasional mendesak agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat segala dakwaan salahlaku, penyelewengan dan skandal dalam Lembaga Tabung Haji sebagaimana janji Pakatan Harapan (PH), segera ditubuhkan bagi mengembalikan keyakinan pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam terus terpelihara.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa Muafakat Nasional mengikuti rapat pelbagai isu-isu yang menyentuh Lembaga Urusan Tabung Haji.

“Bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam Tabung Haji yang sehingga kini tiada satupun didakwa ke muka pengadilan, sehinggalah pelbagai isu yang menyentuh hati rakyat termasuklah ura-ura pengurangan subsidi boat jemaah Haji atas justifikasi konsep Istitha’ah.

“Terbaru, isu jualan lambak ke atas 76.2% ladang-ladang milik TH Plantations yang berkeluasan 1 01 ,000 hektar menjadi hanya 24,000 hektar dengan kaedah yang begitu meragukan juga benar-benar membangkitkan keresahan 9.4 juta pendeposit di kalangan omat Islam.

“Ini tidak termasuk aset-aset hartanah Tabung Haji bernilai RM 10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn. Bhd. Aset-aset ini termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel-hotel Tabung Haji seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan Tabung Haji.”

Jelas kenyataan tersebut, harus diingat Tabung Haji adalah institusi yang cukup istimewa di hati rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya.

“Sebelum PH memerintah, Tabung Haji tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat penubuhan yang bukan sahaja menguruskan segala keperluan urosan dan hal ehwal kebajikan jemaah Haji, tetapi juga menjana ekonomi umat Islam.

“Kecemerlangan Tabung Haji sebelum ini bukan sahaja diiktiraf oleh dunia malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus setiap tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25% setelah ditolak zakat 2.5%.”

Sebab itulah, katanya, apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal, defisit yang melanda secara tiba-tiba sejurus selepas PH memerintah mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan. – UMNO Online

LIHAT KENYATAAN MEDIA DI SINI


Tiada ulasan: