Khamis, 26 Disember 2019

Pemimpin PAN selindung kezaliman Komunis China?

USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA



PAS Kedah merasa amat kesal berikutan kenyataan Menteri Agama Malaysia yang mengatakan ‘semua laporan negatif terhadap kezaliman Komunis China ke atas Muslim Uyghur adalah berita palsu’.

Kenyataan itu agak bertentangan realiti sebenar memandangkan penderitaan Muslim Uyghur akibat kezaliman Kerajaan Komunis China sudah lama berlaku, cuma ia disembunyikan daripada pengetahuan umum dan menyebabkan seperti isu baru berlaku.

Tempoh masa yang lama sejak 1949 lagi bukan sahaja melibatkan penderaan dan seksaan secara fizikal namun kemuncaknya sehingga membawa kepada pembunuhan.

Amat malang sekali, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu hanya menyebutkan sekitar 1,000,000 bilangan Muslim Uyghur dibunuh sedangkan masyarakat dunia yakin bilangan tersebut lebih besar daripada itu.

PAS Kedah juga mempersoalkan bagaimana pemimpin PAN itu mendakwa  ketika lawatan rasminya ke sana beliau disambut dengan permaidani merah dan tempat-tempat yang dilawati selamat dan aman sedangkan umat Islam Uyghur menderita dengan pelbagai seksaan dan kezaliman.

Perlu diingatkan, di mana sahaja berada umat Islam tetap bersaudara, ‘Cubit paha kiri, paha kanan terasa’,  ‘Seperti aur dengan tebing’, ‘Seperti kuku dan isi’  serta seperti susunan batu-bata di sesebuah bangunan yakni saling kukuh-memperkukuhkan.

Justeru itu di manakah konsep Rahmatan Lil-A’lamin yang galak dipergunakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan di dalam isu ini? Di mana hendak diletakkan erti Hadis Nabi Muhammad S.A.W bererti:

“Mereka yang tidak mengambil tahu urusan orang Islam lain, mereka bukan daripada golongan kami.”

Oleh itu, rakyat  Kedah yang hidup dalam keadaan aman dan damai ini wajar menyuarakan bantahan secara terbuka tidak mengira  atas nama agama, keturunan lebih-lebih lagi sebagai menghormati kemanusiaan sejagat.

Sehubungan itu satu Himpunan Aman Membantah Kezaliman Kerajaan Komunis China ke atas Muslim Uyghur akan diadakan pada 27 Disember (Jumaat), jam 2.30 petang selepas Solat Jumaat, bertempat di Dataran Zero (Jam Besar), Sungai Petani.

Maka PAS Kedah menyeru agar hadir beramai-ramai untuk  menyuarakan bantahan dan membangkitkan kecintaan kepada kedamaian secara total.

Terima Kasih

“Islam Memimpin Perpaduan”

USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: