Sabtu, 18 Julai 2020

Putrajaya digesa naik elaun rumah polis, ringan beban anggota pangkat rendah

Abdul Hamid Bador meminta kerajaan mempertimbangkan perkara itu kerana ada
anggotanya yang sering mengadu terpaksa membayar sewa rumah tinggi, khasnya
yang tinggal di bandar besar dan elaun ketika ini tidak mencukupi.

KUALA LUMPUR: Polis meminta kerajaan menaikkan elaun perumahan anggotanya untuk meringankan beban mereka susulan kenaikan kos sara hidup.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, keutamaan harus diberikan kepada anggota berpangkat rendah kerana mereka dilihat lebih banyak berdepan kesukaran.

Beliau berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan isu ini kerana terdapat anggotanya yang sering mengadu terpaksa membayar sewa rumah tinggi, terutamanya mereka yang tinggal di bandar besar dan elaun ketika ini tidak mencukupi.

“Saya selalu memperjuangkan elaun rumah untuk anggota. Saya bukan mahu kenaikan gaji, tetapi elaun rumah, terutama bagi anggota polis berpangkat rendah.

“Kalau mereka bergaji RM1,500 manakala rumah sewanya dibayar sebanyak RM600 dengan elaun yang hanya dapat RM260, jadi ia perlu ditambah lebih RM300 lagi,” katanya di Bukit Aman hari ini.

Katanya, isu kenaikan elaun perumahan diperjuangkannya sejak Dr Mahathir Mohamad dilantik semula menjadi perdana menteri pada 2018.

Disebabkan pemberian elaun perumahan yang rendah, beliau sering mempertahan dan melarang penjualan tanah milik polis kepada syarikat swasta yang ingin mengambil kesempatan atas alasan mahu membangunkan kawasan tersebut.

Beliau berkata, tanah milik polis harus dibangunkan pasukan keselamatan itu sendiri, bukannya pihak lain.

“Katakanlah 10 tahun akan datang, kita ada 30,000 warga polis di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Jadi, sebanyak 30,000 rumah boleh dibina untuk menempatkan mereka.

“Sekurang-kurangnya mereka ini ada rumah dan tidak perlu elaun bulanan RM360. Saya akan perjuangkan isu ini demi menjaga kebajikan anak buah saya,” katanya.

Tiada ulasan: