Isnin, 17 Februari 2020

Pesta ronggeng: SIS malukan Islam

tyrazalhe 

 

Malaysia baharu sama dengan Malaysia lama atau lebih teruk?


BANGI – Nama Sister in Islam (SIS) langsung tidak mencerminkan apa itu Islam, apatah lagi perjuangan membela wanita muslim kerana agama tidak mengajar wanita ‘terkinja-kinja’ menari di dalam majlis terbuka.

Demikian kenyataan sinis Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya yang menyelar penganjuran pesta ronggeng oleh pertubuhan liberal berkenaan di ibu negara, baru-baru ini.

Beliau berkata, penganjuran seumpama itu bukanlah suatu yang mengejutkan kerana sifat SIS adalah sebuah pertubuhan liberal dan bebas tanpa batasan.

“Mungkin selama ini mereka rasa terkongkong tetapi selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, mereka menonjolkan wajah sebenar mereka.

“Di sini jelas bahawa SIS mahu menggunakan kedudukan Tun Mahathir untuk melindungi kegiatan-kegiatan mereka kerana anaknya, Marina adalah orang kuat SIS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyifatkan penganjuran itu bukan hanya mencemarkan nama Islam, bahkan memberikan mesej yang salah kepada generasi muda bahawa Islam membenarkan tarian antara lelaki dan perempuan di depan khalayak ramai.

15 Februari lalu, SIS dikatakan menganjur Pesta Ronggeng bagi mendapatkan sumbangan penajaan kerja amal yang dijalankan mereka, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Sejak beberapa hari lalu, tular video memaparkan Dr Mahathir menari bersama anaknya, Marina sambil disaksikan ramai hadirin yang hadir dalam majlis itu.

Mengulas perkara itu, Aminuddin berkata, rakyat turut terkilan dengan pembabitan Perdana Menteri dalam acara seperti itu, dalam keadaan ekonomi tenat dan rakyat semakin menderita.

“PM masih ada masa untuk bergembira dan menari di khalayak awam. Apakah kesakitan rakyat tak dikongsi oleh Perdana Menteri? Apakah pengorbanan hanya untuk rakyat, walhal pemimpin boleh bersuka ria dan menikmati segala kemewahan?

“Apakah ini dikatakan sebagai Malaysia baharu atau sebenarnya sama sahaja dengan ‘Malaysia lama’ atau lebih teruk? Ini semua persoalan yang harus dijawab oleh pemimpin negara.

“Kemanakah negara kita akan menuju dan apakah masa depan untuk agama dan bangsa masih terjamin jika pemimpin masih leka?,” katanya.


Tiada ulasan: