Khamis, 3 Oktober 2019

'Kerajaan akan kaji laksana balik GST jika itu kehendak rakyat'

MALAYSIAKINI

   

Kerajaan akan mengkaji untuk melaksanakan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) jika itulah yang dimahukan rakyat, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Kalau rakyat merasakan ia lebih baik kita akan mengkajinya.

"(Berkenaan) GST ini, kalau itu kehendak rakyat, kita akan kaji sama ada (ia) lebih baik daripada SST (cukai jualan dan perkhidmatan)," katanya ketika ditanya berkenaan cadangan oleh Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) agar cukai GST dengan kadar tiga peratus dimasukkan dalam Belanjawan 2020.

Bagaimanapun Mahathir tidak menjangka sebarang kajian atau perubahan akan dibuat melalui belanjawan kali ini yang dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada 11 Oktober ini.

"(Dimasukkan dalam) belanjawan susah sikit. Mungkin kemudian," katanya.

Sistem GST dengan kadar enam peratus dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas menjanjikannya ketika kempen PRU ke-14.

Ia digantikan dengan SST yang mengenakan kadar sepuluh peratus cukai kepada barangan dan enam peratus kepada perkhidmatan.

Menurut MIER, GST akan dapat memberi lebih sumbangan kepada pendapatan kerajaan dan pada masa sama adil kepada semua segmen pengguna, terutama jika pengecualian diberikan kepada golongan B40.

Pada 2017, kerajaan BN mendapat pendapatan sebanyak RM44 bilion daripada pungutan GST.

Kerajaan PH pula menjangka mendapat RM22 bilion daripada SST untuk tahun ini.


Tiada ulasan: