Kastam membuat tuntutan berjumlah RM82.9 bilion bagi
keperluan pembayaran balik GST dari April hingga Mei tetapi hanya RM63.5
bilion dibayar balik ke akaun itu.
PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hari ini mengesahkan tabung amanah bagi keperluan pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) kekurangan RM19.4 bilion setakat 31 Mei 2018.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T Subromaniam berkata bagi tempoh 1 April 2015 hingga 31 Mei 2018, pihaknya membuat tuntutan berjumlah RM82.9 bilion bagi keperluan pembayaran balik GST, bagaimanapun jumlah penuh tidak dipindahkan ke dalam tabung amanah.
Jumlah itu berdasarkan Borang GST-03 iaitu untuk menuntut bayaran balik GST yang difailkan ke dalam Sistem GST JKDM oleh pembayar cukai, dilaporkan oleh JKDM pada Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan yang dipengerusikan ketua setiausaha perbendaharaan, katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun katanya, daripada RM82.9 bilion yang dilaporkan, hanya RM63.5 bilion dibayar balik melalui tabung amanah sepanjang tempoh itu.
“Oleh itu, pada 31 Mei 2018, tabung amanah masih memerlukan dan mengalami kekurangan untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST sebanyak RM19.4 bilion,” katanya.
Tabung amanah adalah satu kumpulan aang yang diwujudkan bagi tujuan pembayaran balik GST di bawah Seksyen 54 Akta GST 2014.
Semua bayaran GST dimasukkan ke dalam Akaun Kumpulan Wang Disatukan yang kemudiannya dipindahkan kepada tabung amanah untuk membolehkan pembayaran balik GST dilakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan