Khamis, 30 Julai 2015
Solidariti untuk The Edge disebar di Facebook
Jumaat, 27 Mei 2011
Lagi 'bukti' pembelian undi pilihan raya S'wak
Meskipun pilihan raya negeri Sarawak telah berlalu lebih sebulan , namun Rangkaian Pemantau Pilihan Raya Malaysia (MEO-Net) berkata mereka kini mempunyai lebih banyak bukti bagi menunjukkan bahawa pembelian undi berleluasa sepanjang tempoh berkempen.
Penyelaras MEO-Net Ong Boon Keong pada sidang akhbarnya hari ini mendedahkan rakaman pita video pendek menunjukkan wang tunai diedarkan kepada pengundi di kerusi dewan undangan negeri Tamin yang berjaya dipertahankan oleh BN.
Ong mendakwa tuai rumah panjang itu bersama beberapa tuai yang lain diminta ke pejabat BN di pekan Selangau dan diberikan beberapa cek oleh tiga pembantu calon BN berkenaan.
Tuai rumah panjang Unban Anak Endu itu kemudiannya menunaikan cek berkenaan dan mengedarkan RM50 kepada setiap penduduk yang dipercayainya akan menyokong BN, dakwa Ong.
Beliau pada Selasa lalu ditahan oleh anggota Jabatan Imigresen Kuching ketika melawat Bengoh dan dihantar pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.
Tiada alasan yang diberikan oleh pegawai Imigresen tetapi Ong yakin pengusirannya ada kaitan dengan usahanya mengumpulkan dalil bagi membuktikan salah laku pada pilihan raya April lalu.
Selasa, 26 April 2011
Iban Serbu Pejabat SUPP Tuntut 'Habuan'
SIBU : Lebih 100 penduduk Iban menyerbu ibu pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Sibu semalam dan menuntut baki RM400 setiap seorang yang dijanjikan bagi menyokong seorang calon pada pilihan raya negeri yang lalu, dakwa sebuah pemantau pilihan raya.
Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan lewat petang semalam, Pemantau Pilihan Raya Sibu (SEW) mendakwa penduduk Iban berkenaan berang kerana tidak mendapat bayaran 'baki' tersebut meskipun telah dijanjikan oleh agen pilihan raya SUPP dan tua rumah panjang sebelum pilihan raya.
Sebaik menerima berita berkenaan, SEW menghantar dua perwakilannya ke ibu pejabat SUPP bagi memanatu keadaan.
Dalam siasatannya, SEW berkata pihaknya mendapati bahawa penduduk Iban dijanjikan bayaran RM100 sebelum hari mengundi 16 April lalu dan sekiranya calon SUPP menang, setiap seorang daripada mereka akan menerima RM400 lagi selepas pilihan raya.
supp alleged money politic 250411 01SEW mendakwa sebelum ini, perwakilannya juga menyaksikan penduduk Iban daripada sekurang-kurangnya dua rumah panjang dibayar 'baki' RM400 berkenaan.
Dakwa pemanatau pilihan raya itu lagi, penduduk Iban itu daripada Rumah Chandi, Rumah Pasang dan Rumah Ujang.-Malaysiakini
Isnin, 25 April 2011
Anwar: Sangkaan P'raya S'wak bersih jauh meleset
Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sangkaan bahawa pilihan raya negeri Sarawak yang baru berlangsung merupakan pilihan raya bersih, bebas dan adil adalah jauh meleset.
Anwar malah mendakwa, pengerusi Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (BERSIH), Ambiga Sreenevasan juga tidak dibenarkan untuk memasuki negeri itu bagi memantau pilihan raya berkenaan.
Bercakap dalam satu sidang media di Kuching semalam, Anwar turut mendakwa bahawa kerajaan berniat untuk menipu apabila Ambiga dihalang untuk memantau pilihan raya berkenaan.
Katanya lagi, Pakatan Rakyat akan memastikan bahawa BN tidak akan dapat menggunakan penipuan dan mempergunakan media seperti yang dilakukan dalam pilihan raya Sarawak.
Anwar juga berkata, Pakatan akan menegaskan supaya pasukan pemantau, media dan juga anggota parlimen dari luar negara akan menjadi pemantau dalam pilihan raya umum itu.
Tambahnya, banyak negara terjerumus ke kancah perang dan bencana disebabkan proses pilihan raya yang melibatkan penipuan.
Katanya lagi, Pakatan tidak boleh membenarkan perbuatan membeli undi dan menggunakan media untuk menyerang Pakatan ketika pilihan raya akan terus berlaku.
Ahad, 24 April 2011
Suapan RM10,000: SPR didesak gantung keputusan DUN Temin
SABAH DAILY
SARAWAK: Laman portal Sarawak Report mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggantung keputusan pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N52 Temin kerana terdapat bukti bahawa calon Barisan Nasional (BN), Joseph Mauh telah ‘ditangkap’ kerana melakukan penipuan berganda.
Laman tersebut turut mendesak pihak polis segera bertindak menyoalsiasat Joseph, kerana dia bukan sahaja menjanjikan RM10,000 bagi meraih undi, tetapi suapan itu adalah dalam bentuk cek tendang.
“Jika buktinya didapati benar, maka suatu pilihanraya semula harus diadakan. Kesemua dakwaan mengenai jenayah rasuah yang dilakukan di seluruh negeri Sarawak harus juga disiasat.
“Kami bukannya bercakap mengenai ‘pembangkang pengacau’, tetapi kami ingin bercakap mengenai Ketua-ketua masyarakat yang dilantik oleh kerajaan dihormati,” kata laporan tersebut.
Penyelewengan itu didedahkan oleh Kuching ak Moyan, seorang Tuai Rumah dari kawasan Tamin melalui pengakuannya yang dirakam oleh kamera dan video 5 minit 20 saat itu masih boleh dilayari di laman youtube dengan tajuk ‘Testimony of Tuai Rumah Kuching’.
Melalui seorang penterjemah, Kuching mendedahkan bahawa pada 13 April 2011, beliau telah diberikan tiga keping cek bernilai RM2,000, RM3,000 dan RM5,000 oleh calon Barisan Nasional, Joseph Mauh supaya memberikan sokongan kepada Barisan Nasional.
“Saya telah menunaikan kedua keping cek yang pertama dengan jumlah RM5,000. Tetapi cek ketiga yang bernilai RM5,000 telah ditolak oleh pihak bank sebagai cek tendang,” kata Kuching.
Kuching turut mendedahkan, pada Pilihan Raya Negeri 2006 lalu, setiap seorang pengundi di kawasan itu diberikan hanya RM20, tetapi pada pilihanraya kali ini, nilainya telah dinaikkan kepada RM50 setiap seorang pengundi.
“Saya ingat semua kami di sini telah mengundi Barisan Nasional. Memanglah saya tahu bahawa duit yang diberikan oleh Barisan Nasional itu tidak bernilai jika kerajaan mengambil tanah kami. Tapi apakan daya kami, kami harus mengundi kerajaan kerana kerajaanlah yang memberi kami duit itu.
“Ya, saya tahu kita boleh mengambil duit Barisan Nasional dan kemudian kita mengundi pembangkang, tetapi memandangkan setiap orang di sini mengundi Barisan Nasional pada kali ini, saya juga turut serta,” kata Kuching.
Berdasarkan bukti tersebut, Sarawak Report menjangkakan ia hanyalah permulaan kepada penemuan-penemuan lain.
“Kita hairan dengan gelagat BN di KL yang kelihatan resah dan risau mengenai pilihanraya ini dan kemudian mereka kelihatan lega dengan keputusannya.
“Taib kelihatan bergegas di tengah malam minggu untuk mendapatkan Tuan Yang Terutama bagi mengangkat sumpah sebelum sesiapa sempat berteriak ‘tangkap pencuri itu!’ ulas laporan tersebut.
Dalam pada itu, Sarawak Report turut mempersoalkan sama ada wujud penafian hak mengundi oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan tidak mendaftarkan setengah juta pengundi dari kalangan orang asli.
“Perkara ini yang meresahkan dan merisaukan BN. BN adalah sebuah kerajaan yang tidak sah yang telah menodai proses pilihanraya dan mereka seharusnya disiasat dan didakwa dan dijatuhkan hukuman seberat yang mungkin.
“Sarawak Report kini berada di Geneva, dengan kerjasama NGO yang lain telah dipelawa untuk mengemukakan segalanya di UN mengenai masalah yang berkisar kepada pelanggaran hak asasi manusia dan demokrasi di Sarawak.
“Kami akan mengemukakan kes Tuai Rumah ini dan juga kes-kes yang lain yang telah dan pernah ditipu semasa pilihan raya ini,” jelas laporan tersebut.
PRN SARAWAK: KENAPA YANG MENANG GUSAR KEPADA YANG KALAH ?
Benar BN telah memenangi pilihanraya negeri (PRN)Sarawak. Benar, kerajaan BN di bawah kepimpinan Tan Sri Taib Mahmud, telah mengekalkan kuasa 2/3 majoriti mereka di Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Namun euporia dan gegak gempita keseronokan seperti malam 16 April hari Sabtu lalu tampak tidak mampu bertahan lama. Kerajaan Barisan Nasional Sarawak kembali diselubungi iklim cemas, rimas bercampur suram sesekali terkejut semacam orang baru kebah atau baik demam. Igauan ngeri takut kalah masih menghantui perasaannya dan psikologi-psike mereka rapuh.
Masakan tidak takut. Mengikut informasi risik pihak kerjaan BN sendiri sehingga ke saat akhir di garis penamat, dikatakan PBB dan parti-parti komponen BN akan kehilangan 2/3 majoriti. Bahkan tidak kurang yang berharap untuk menyaksikan pemerintahan baru di bumi kenyalang itu.
Penulis ketika mengendalikan satu Sidang Akhbar Jentera Pilihanraya PAS Sarawak, di Markaz Besar pada hari Rabu 13 April (seperti dilaporkan oleh Harakahdaily.net), telah membuat ramalan yang kurang disenangi pemerhati politik, khususnya pemimpin dan penyokong tegar Pakatan sendiri.
Meramalkan senario terbaik buat Pakatan hanya dengan memenangi 17 kerusi, sementara umum sedang menyaksikan bahawa sambutan program-progam Pakatan adalah luar dugaan merupakan kenyataan yang menongkah arus. Tidak popular. Lebih tidak wajar dikeluarkan oleh pimpinan PAS Pusat. Ada sebab mengapa penulis terpaksa berpada dengan sebutan tersebut.
Namun hari ini, penulis masih mampu mangangkat kepalanya. Berkebetulan hampir tepat ramalannya dengan pengumuman pada malam 16 April. BN memenangi 55 kerusi sementara pembangkang mendapat 16 kerusi, termasuk satu dari bebas selainnya Pakatan.
Telah banyak yang diperkatakan dan ditulis tentang keputusan PRN Sarawak semcam malas pulak untuk menambah lagi. Namun seperti biasa, penulis bukan sekadar terpaksa mengatakan sesuatu tetapi punya sesuatu untuk diperkatakan.
Andainya tidak diambil kesempatan ini, peluang untuk menyebutnya tepat dan jitu pada ketika dan waktu ia diambil perhatian pembaca akan sekali lagi terlucut.
Inilah maudhu’ sentral penulisan ini. Ia adalah beberapa pengamatan kritis penulis mengapa Pakatan gagal menyingkir Barisan Nasional dan khususnya Taib Mahmud dalam PRN Sarawak lalu. Kebobrokan perjalanan P/raya oleh SPR tidak akan disinggung termasuk salah laku membeli undi oleh BN.
Lebih penting adalah supaya ‘penegasan-keinsafan’ nanti bakal menjadi ‘ingatan sempadan’ agar kesilapan tidak diulangi dalam berdepan dengan cabaran PRU ke-13 akan datang!Sabtu, 23 April 2011
KJ: Prestasi Sarawak bukan ukuran undi Cina buat BN hakis
KOTA BARU — Kemenangan lebih besar DAP pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 baru-baru ini tidak boleh dijadikan kayu pengukur sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional (BN).
Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin (gambar) berkata semua pihak dalam BN perlu duduk semeja bagi mencari pendekatan bagaimana untuk menarik semula sokongan masyarakat Cina terhadap BN.
“Sebelum ini beberapa pilihan raya kecil yang lain, sokongan masyarakat Cina terhadap BN semakin meningkat tetapi berlainan di Sarawak dan sebab itu kita tidak boleh membuat ukuran bahawa sokongan masyarakat itu kepada kita sudah terhakis.
“Kita mesti melihat apa sebabnya perkara itu berlaku dan semua pihak dalam BN perlu mencari pendekatan bagaimana mahu menarik semula sokongan mereka kepada kita selepas ini,” katanya selepas bersama-sama membaik pulih rumah di Kampung Beta melalui Program Jelajah One Malaysia Pemuda BN di sini, hari ini.
Pada pilihan raya negeri Sabtu lalu, BN mengekalkan kerajaan negeri dengan memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan dengan Pakatan Rakyat mendapat 15 kerusi dan satu oleh Bebas.
“Saya juga menolak andaian masyarakat Cina itu menolak kerana bencikan BN dan itulah sebabnya kita kena cari punca kenapa ini berlaku,” kata beliau dipetik Bernama Online.
Sehubungan itu, Pemuda BN melalui semua komponennya akan mula menggerakkan jenteranya terutama di kawasan bandar bagi menarik semula sokongan itu dan berharap semua pihak akan memberikan kerjasama mereka, kata KhairyJumaat, 22 April 2011
Suruhanjaya Pilihanraya Raya SPR Tipu Undi Di Miri?
Staff Berita Semasa

Berlaku di Miri, semasa pengiraan undi dalam Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, pembantu peribadi Elizabeth Wong ditangkap di atas kesalahan yang tidak diketahui hujung pangkalnya oleh polis dan berlaku kekecohan dimana SPR dituduh menipu undi.
Kami nak tanya satu je, apa sebab dia ditangkap? Berita ini tidak keluar di mana-mana media besar, jadi kami ingin kongsikan kepada anda.
Terdapat kekeliruan di sini, dimana jika dilihat daripada video , Pakatan Rakyat telah meminta pengiraan semula undi atas beberapa sebab yang telahpun dinyatakan kepada SPR, namun ditolak bulat-bulat.Ini adalah info yang kami terima dari beberapa sumber yang berada di tempat kejadian sewaktu proses pengiraaan undi dijalankan.
- Pakatan Rakyat sedang mendahului calon SUPP sebanyak 1000+ majoriti selepas pengiraan peti undi terakhir.
- Berlaku kejadian “blackout” tepat pada pukul 5 petang di dalam Stadium Bandar Miri dimana proses pengiraan sedang dijalankan.
- Balckout kekal selama satu jam walaupun undi pos(sebanyak 500+ sahaja undi pos) telah tiba dan pengiraan tetap dilakukan.
- Calon SUPP, menang dengan mojoriti 58 undi
- Terdapat 158 undi rosak yang memihak kepada calon PKR
- Tiada pengiraan semula dibenarkan oleh SPR
Kalau dilihat dari info diatas, kelihatan SPR memang menipu terhadap undian di Miri.Kami nak tanya, mengapa selalu sangat berlaku blackout sewaktu pengiraan undi dijalankan? Dah macam resam pula kejadian blackout ini.Dan yang paling menghairankan, bagaimana pula dengan undi pos yang hanya sekadar 500+, boleh merosakkan majoriti calon PKR yang sedang mendahului 1000+ majoriti sewaktu pengiraan kotak undi terkakhir?
Fikir logiklah nak kira undi dalam stadium sewaktu balckout.SPR,oh SPR. Kalau dah blackout tu, apa kata berhenti mengira undi sehinggalah masalah blackout tu dah selesai.Tak ada lah nampak SPR tidak berlaku adil.
Dan yang paling pelik, dengan hanya undi Pos 500+, boleh menidakkan majoriti 1000+ calon PKR, memang mustahil.Matematik mudah sahaja.Bukan pakai algebra.Kalupun semua undi pos memihak kepada calon SUPP, mustahil beliau boleh menang.dengan majoriti hanya dipisahkan 58 undi, wajar rasanya pengiraan undi di adakan semula.
Dan yang terakhir, atas alasan apa pula pembantu peribadi Elizabeth Wong ditangkap? Inikah cara Polis menangani masalah?Bagitahulah dulu apakah kesalahan yang dilakukan sekurang-kurangnya.Perlu terus tangkap dan pegi balai sahaja.Tidak perlu libatkan emosi dan profesionalisme dalam menjalankan kewajipan.
Namun begitu, kami nak tanya pendapat anda.Mungkin ada orang Miri yang lain, yang sanggup berkongsi tentang apa yang terjadi semasa proses pengiraaan undi waktu itu?
Rabu, 20 April 2011
P'raya negeri: Wartawan S'wak dakwa layanan buruk
Presidennya Roger TL Liong berkata beliau menerima beberapa aduan daripada ahli FSJA di Kuching, Miri dan Bintulu.
"Hanya dua hari sebelum penamaan calon iaitu pada 6 April wartawan dimaklumkan pas warna merah jambu dan dokumen lain yang mereka terima tidak boleh digunakan.
"Mereka diberitahu supaya mendapatkan tiga pas berlainan untuk memasuki pusat penamaan calon, pengundian dan pengiraan undi," katanya.
Liong berkata wartawan diarah untuk menguruskan sendiri pas itu di pejabat Pegawai Daerah yang berkenaan yang mana menyukarkan mereka kerana masa yang semakin suntuk.
"Keadaan itu menyebabkan rakan-rakan wartawan dari luar negeri itu tidak dapat membuat liputan," katanya.
Liong berkata pada hari penamaan calon, pegawai-pegawai SPR hanya membenarkan mereka mengambil gambar calon dari jarak 30.5 meter.
"Lagi sekali wartawan diarahkan berada pada jarak 30.5 meter. Mereka juga tidak menyediakan kerusi tetapi sebaliknya kerusi disediakan untuk mereka yang hanya datang untuk memerhati.
Bagaimanapun, sebahagian pegawai SPR di kawasan lain memberi kerjasama yang baik, kata Liong.
Sehubungan itu beliau berharap SPR dapat menetapkan peraturan dan prosedurnya untuk membantu media menjalankan tugas.
Selasa, 19 April 2011
PRN Sarawak: PR Menang Bermaruah, BN Menang Dengan Rasuah
KUALA LUMPUR : Senator Dr Syed Husin Ali menyatakan, tiada salahnya mengucapkan tahniah di atas kemenangan Barisan Nasional (BN) di Sarawak namun jangan sesekali memperkecilkan prestasi Pakatan Rakyat (PR).
Dr Syed Husin berkata demikian semasa membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Dewan Negara, semalam.
Dr Syed Husin berkata, beliau amat berbesar hati kerana dapat menyertai perbahasan itu dan berpeluang membuat sedikit ulasan berhubung kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri Ke 10 Sarawak, Sabtu lalu.
“Sepanjang pagi tadi (semalam) beberapa orang mengucap tahniah kerana kemenangan BN di Sarawak.
“Tiada salah mengucapkan tahniah, akan tetapi agak kurang enak didengar kerana pada masa sama diperkecilkan pula prestasi Pakatan,” ujarnya selaku Ahli Dewan Negara yang mewakili PKR.
Menurutnya, seorang teman daripada Umno bertanya kepadanya mengapa beliau tidak mahu mengucapkan tahniah di atas kemenangan perikatan itu, bagaimanapun Dr Syed Husin berkata beliau tiada masalah mengucap syabas.
Akan tetapi, beliau ingin mengingatkan bahawa PR berjaya meningkatkan bilangan kerusi yang dimenangi sekali ganda sekali gus meraih undi popular BN
“Lebih penting lagi kami berjaya menurunkan 8 peratus undi yang diperolahi BN dari 63 ke 55 peratus.
“Benar BN mendapat lebih dua pertiga kerusi, akan tetapi ia gagal memperolehi dua pertiga undi,” ujarnya.
Dr Syed menambah, ini berlaku walaupun Umno-BN menggunakan keseluruhan jentera kerajaan dengan memperalat media arus perdana serta mengugut melalui SB juga menaburkan wang dan seterusnya tidak henti-henti menggunakan isu fitnah sodomi dan video seks.
“Saya teringat kepada sebuah tweet yang saya terima, berbunyi: Pakatan menang dengan maruah, BN menang dengan rasuah. Ingatlah, Sarawak bukan lagi fixed deposit BN,” ujarnya.
Isnin, 18 April 2011
PRN Sarawak tidak sekat Pakatan ke Putrajaya
| Fakhri Ali |
|
Sebaliknya, kekalahan itu menjadi satu pendorong semangat untuk terus berjuang bagi memastikan keseluruhan keputusan sebenar mandat rakyat di Semenanjung, akan berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang. "Jadikan kekalahan dalam PRN Sarawak itu, sebagai satu laluan yang penuh ranjau untuk mencapai hasrat murni menjejak kejayaan yang sedang menanti bersama seribu satu halangan dan tribulasi dari BN," tegasnya lagi. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ceramah isu semasa anjuran JKKK Permatang Damar Laut di Kampung Permatang Tepi Laut, malam tadi. Dalam pada itu, beliau yang juga ahli Parlimen Marang menjelaskan PAS tidak perlu merasuah rakyat untuk mendapat sokongan atau mandat bagi memerintah negara, sepertimana yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kuasa mereka. Katanya lagi, selama 20 tahun PAS memerintah Kelantan, tiada juga laporan terhadap kegiatan rasuah atau penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan negeri. "Begitu juga dengan kepimpinan kerajaan negeri Terengganu semasa ianya ditadbir oleh PAS semasa saya menjadi Menteri Besarnya. Tiada juga rasuah yang kita amalkan bagi mengekalkan kepimpinan dalam kerajaan negeri. "Selama empat tahun kita memerintah di Terengganu dahulu, rasuah, skandal dan penyalahgunaan kuasa tidak menjadi amalan. Tetapi di Sarawak yang ditadbir oleh BN rasuah berleluasa sehinggalah menjelangnya pilihan raya negeri. "Ini membuktikan dengan jelas bahawa, pemerintahan rasuah adalah pemerintahan yang diminati oleh mereka yang menyokong kepimpinan BN. Oleh kerana itu apabila berleluasanya ketirisan dalam pendapatan negeri dan negara, kepimpinan inilah yang harus dipersalahkan, tetapi ia sebaliknya berlaku di Sarawak, " tegasnya lagi. |
Dari 9 ke 15 kerusi isyarat positif - Nik Aziz
| Rizal Tahir |
| PENGKALAN CHEPA: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan kemenangan calon Pakatan Rakyat yang berjaya menawan 15 kerusi pada pilihanraya umum Sarawak, sebagai isyarat rakyat di negeri itu inginkan perubahan. (Gambar: MB Kelantan, menyampaikan sumbangan peribadinya di samping sumbangan penderma dari Nik Aziz berada di sini untuk menerima jenazah Allahyarham Mohd Izan Yaacob, petugas PAS dari Kelantan yang meninggal di Beting Maro 16 April lepas. Beliau telah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Izan di samping menyampaikan sumbangan peribadi kepada anak beliau sebagai tanda simpati dari PAS dan kerajaan negeri kepada keluarga beliau. |
PKR Cabar Keputusan Tebedu
KUCHING : Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali lagi bercadang memfail saman petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan Dewan Undengan Negeri (DUN) N18 Tebedu yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) Michael Manyin Anak Jawong berikutan wujud unsur penipuan termasuk pemalsuan tandatangan yang disyaki dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ia berikutan calon PKR bagi kerusi itu, Cristopher Anak Kiyui percaya penipuan berlaku pada proses kiraan undi dan tandatangan wakil ejen undi (PACA) pada Borang 14 yang dikeluarkan SPR.
Justeru, beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Maung yang terletak dalam daerah Batu Lintang di sini.
“Dari 45 agen kira undi (PACA), hanya lima orang diberi Borang 14 yang asli. Seramai 35 agen PKR lain tidak dapat, (kecuali) semuanya borang adalah salinan (fotostat).
“Apabila diperiksa, satu borang itu wujud pemalsuan dua tandatangan (pada Borang 14) disyaki (oleh) SPR.
“Bilangan undi pada Borang 14 turut diubah pihak tertentu,” katanya.
N18 Tebedu dimenangi calon BN, Michael Manyin Anak Jawong dengan memperoleh 6,196 undi berbanding Christopher 2,130 undi. Undi majoriti ialah 4,066 undi.
Turut bertanding ialah Anthony Anak Nais dari SNAP yang hanya mendapat 468 undi sahaja. Calon Bebas, Kikpli bin Ale pula mendapat 260 undi.
Sebelum ini, PKR memutuskan untuk mencabar keputusan di N.65 Senadin berikuyan keengganan SPR membuat kiraan semula walaupun undi majoriti yang diterima calon BN cuma 58 sahaja.
SUPP tolak hasrat George Chan letak jawatan
KUALA LUMPUR— Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hari ini menolak untuk menerima surat peletakan jawatan presidennya Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, keputusan diambil ekoran prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya negeri kelmarin.
Setiausaha agungnya Datuk Sim Kheng Hui juga menawarkan untuk meletakkan jawatan tetapi jawatankuasa kerja pusat (CWC) berkata kedua-dua pemimpin akan kekal dalam parti sehingga perhimpunan tahunan yang dijadual akan berlangsung akhir tahun ini.
Selepas menang besar, BN perlu tangani isu Taib Mahmud
Kedudukan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjadi isu yang perlu ditangani Barisan Nasional selepas mencapai kemenangan besar mengekalkan dua pertiga kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Pengunduran Taib dan peralihan kuasa bakal menjadi tuntutan banyak pihak selepas berakhir Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 semalam.Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin semalam dilapor berkata BN perlu melaksanakan janji mengadakan peralihan kuasa di Sarawak.
Kedudukan Taib - yang segera mengangkat sumpah selepas BN berjaya menubuh kerajaan - masih kukuh ekoran kejayaan memastikan kemenangan selesa walaupun berdepan tekanan kuat pembangkang.
Walaupun terjejas sebagai "simpanan tetap" bagi BN untuk Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, Sarawak tetap masih dilihat selamat bagi BN, dan menguatkan sebab kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mengadakan pilihan raya umum tahun ini.
Taib telah berjaya memastikan BN kekal dengan dua pertiga kerusi di Sarawak. Prestasi BN dalam pilihan raya umum akan datang, sama ada berjaya atau tidak mendapat semula dua pertiga, bakal mengalih tumpuan kepada Najib pula.
Najib telahpun mengatakan BN akan berdepan saingan sengit pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Tetapi beliau dijangka tetap akan berdepan cabaran dan tekanan sekiranya BN tidak berjaya mengekalkan dua pertiga di Parlimen selepas pilihan raya itu nanti.
Kuasai 15 kerusi beri Pakatan harapan baru, kata penganalisis
KUALA LUMPUR — Walaupun hanya menang 15 kerusi, namun penganalisis politik berpendapat ia adalah satu keputusan yang tidak dijangkakan dan menunjukkan Pakatan Rakyat berjaya mengukuhkan kedudukan di Sarawak.
Bagaimanapun ketika dihubungi The Malaysian Insider, penganalisis berkata hanya DAP yang menunjukkan peningkatan sokongan yang memberangsangkan berbanding PKR dan PAS.
Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan di 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan DAP menyumbang 12 kemenangan, PKR tiga manakala PAS tidak memperoleh sebarang kerusi.
Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerajaan negeri Sarawak dengan memperoleh kemenangan lebih dua pertiga iaitu 55 kerusi DUN.
Bebas memenangi satu kerusi.
Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi, Pakatan Rakyat berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pilihan raya negeri 2006 — yang mana ketika itu BN memperoleh 62 kerusi.
“Bagi Pakatan Rakyat mereka mengukuhkan lagi kedudukan terutamanya DAP yang mana mereka telah dapat 12 kerusi berbanding sebelum ini enam dan ini menunjukkan pengundi masih bersama Pakatan di kawasan bandar.
“Peningkatan sokongan ini menunjukkan BN perlu melakukan sesuatu untuk menyekat sokongan kepada Pakatan Rakyat,” kata pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian.
Kata beliau, walaupun Pakatan Rakyat merupakan parti dari Semenanjung, namun jumlah kerusi yang dimenangi perikatan tiga parti itu menunjukkan perubahan sudah berlaku.
“Bagi Pakatan Rakyat walaupun berasal dari Semenanjung Malaysia, namun mereka nampaknya sudah mula diterima, malah kita boleh lihat bagaimana DAP yang sebelum ini menang enam kerusi kini sudah bertambah.
“Peningkatan ini juga mungkin menunjukkan pengundi mahukan keseimbangan ke atas DUN Sarawak, namun begitu nampaknya bukan semua pengundi masih boleh terima parti yang berasal dari Semenanjung Malaysia,” katanya.
Jelas Sivamurugan, faktor utama kemenangan besar BN adalah sumbangan yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membantu jentera parti itu.
Beliau juga berkata, BN perlu melaksanakan setiap janji yang dibuat agar momentum kemenangan akan dapat diteruskan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Bagi saya faktor kemenangan BN adalah Najib dan Muhyiddin yang telah lakukan kempen yang hebat untuk pastikan Sarawak kekal menjadi simpanan hayat BN.
“Tapi cabarannya adalah untuk pastikan apa yang dijanjikan semasa kempen dilaksanakan supaya momentum itu dapat dikekalkan dalam pilihan raya umum ke-13.
“Mungkin pengundi di Sarawak mahu memberikan satu lagi peluang kepada BN supaya jurang antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan terutamanya jurang antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri selain mahu melihat Najib melakukan lebih banyak perubahan,” katanya.
Malam tadi Najib memberi isyarat jelas bahawa kemenangan selesa BN dalam pilihan raya negeri Sarawak akan dijadikan kayu ukur dan jambatan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Kata Najib, kemenangan besar BN itu akan diterjemahkan pada pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Bagi Profesor Madya Dr Samsul Adabi Mamat, DAP menunjukkan parti itu berjaya mendapatkan sokongan pengundi Cina di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Jelas beliau, keputusan yang diperoleh Pakatan Rakyat itu masih belum dapat untuk bersaing dengan BN yang mempunyai pengaruh yang kuat di Sarawak.
“Saya melihat keputusan itu secara keseluruhannya kita lihat memang BN dapat majoriti dua pertiga dan ini menunjukkan kemenangan besar BN.
“Namun kalau kita lihat kawasan yang dimenangi DAP menunjukkan peningkatan DAP, begitu juga PKR yang meningkat kepada DAP.
“Ini menunjukkan peningkatan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya Sarawak tapi secara keseluruhan BN masih berada dalam keadaan cukup selesa,” katanya.
Menurut Samsul Adabi lagi, banyak faktor yang menyumbang kepada kemenangan Pakatan Rakyat di 15 kerusi itu termasuk kegagalan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang “tewas” besar kepada DAP.
“Terlalu awal untuk ulas kerana kawasan BN yang merosot angka tidak besar... begitu juga kerana penerimaan Pakatan Rakyat yang mana kalau kita lihat banyak faktor lain terutamanya faktu undi masyarakat Cina yang kita lihat banyak beri kemenangan kepada DAP.
“Kalau nak kata keseluruhan rakyat Sarawak sudah menerima Pakatan Rakyat, masih tidak boleh katakan, tapi kalau undi masyarakat Cina kepada DAP boleh kita lihat.
“Ini kerana SUPP yang mewakili masyarakat Cina di Sarawak gagal menyelesaikan masalah kepimpinan dalam parti itu dan telah mengalami kekalahan besar menyebabkan pengundi Cina telah pergi kepada DAP dan bukan BN,” katanya.
Sementara itu, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata kemenangan dua pertiga BN memang sudah dijangkakan, namun Pakatan Rakyat berjaya menang lebih kerusi.
“Saya ingat ia (kemenangan BN) sudah dijangkakan dan kerusi yang diperoleh sudah dijangka, awal cuma rasa risau dan bimbang.
“Dan yang saya lihat DAP berjaya menang 12 kerusi... saya juga tidak jangka PKR boleh dapat tiga kerusi, saya ingat ia adalah kerana faktor protes kerana tidak berpuas hati dengan BN bukan kerana minat kepada PKR,” katanya.
Selain itu, beliau percaya BN akan memperoleh kemenangan lebih besar sekiranya SUPP tidak tewas banyak kerusi.
“Sepatutnya BN boleh menang dengan lebih besar, kemenangan DAP sudah dijangka sebab trend pengundi Cina memang nampak begitu tegas kepada DAP, ia bukan undi protes bagi DAP, PKR mungkin.
“Kemenangan Pakatan Rakyat bergantung kepada DAP, yang saya rasa PAS dan PKR gagal terangkan manifesto Pakatan Rakyat, isu (Datuk Seri) Anwar Ibrahim juga memberi sumbangan kepada Pakatan Rakyat,” katanya.
Datuk Dr Zainal Kling pula menjelaskan kemenangan 15 kerusi itu masih belum menggambarkan majoriti besar pengundi Sarawak menerima Pakatan Rakyat.
“Saya fikir pilihan raya kali ini beri harapan kepada Pakatan Rakyat terutamanya sekali DAP dan PKR, yang mana DAP berjaya jatuhkan SUPP.
“Namun Pakatan Rakyat secara seluruh belum (diterima) tapi DAP dan PKR sudah mula bertapak di sana sudah ada tapak untuk bergerak lebih menyakinkan mereka,” katanya.
Ahad, 17 April 2011
Pakatan Cipta Satu Lagi Sejarah, Kata Wan Azizah
KUCHING : Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan kejayaan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Negeri Sarawak sebagai pemantapan kepada sistem dua parti di negara ini.
Menurut beliau, sejarah sekali lagi dicipta oleh Pakatan Rakyat apabila mesej 'ubahlah' berjaya meresap ke dalam jiwa masyarakat di Sarawak.
" Keputusan yang bersejarah. Tak pernah lihat satu keputusan yang menjurus kepada pemantapan sistem dua parti dan kejayaan golongan pengundi bermaklumat," katanya pada sidang media malam tadi.
Menurut Wan Azizah, Parti Keadilan Rakyat juga berjaya melebarkan sayapnya di Sarawak berkat iltizam rakyat yang dahagakan perubahan.
PKR pada 2006 hanya menang satu kerusi, namun kali ini berjaya meraih tiga kerusi.
Tuntutan kepada perubahan juga dapat dilihat secara jelas di kawasan bandar terutamanya di sekitar Kuching, Sibu dan Miri yang kini menjadi "kawasan hitam" bagi BN.
" Kita bangga dengan kejayaan yang dicapai walaupun dalam keadaan padang pertandingan yang tidak rata dan adil..Kita lihat PKR semakin diterima rakyat sebagai sebuah parti pelbagai kaum,"tambahnya lagi.
Namun katanya, PKR dan Pakatan Rakyat secara keseluruhannya akan terus memantau janji-janji yang ditaburkan BN sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri.
Malah kajian juga akan dibuat berhubung segala bentuk kesalahan sepanjang kempen pilihan raya sebelum sebarang tindakan diambil.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak memberikan layanan adil kepada agen calon parti itu dengan tidak membekalkan salinan borang 14 kepada mereka.
" (Kita) gagal dapat maklum balas daripada SPR walaupun telah dihubungi. Kita akan dapatkan maklumat daripada PACA sebelum tindakan lanjut diambil," tegas Azmin.
Borang 14 adalah nama singkatan kepada 'Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi'.
PKR Cabar Keputusan Senadin
KUCHING : Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) bercadang memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan bagi kerusi N65 Senadin setelah calonnya Dr Michael Teo Yu Keng (bawah) kalah dengan majoriti tipis 58 undi kepada Datuk Lee Kim Shin daripada Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden PKR Tian Chua menyuarakan rasa tidak puas hati beliau berikutan keengganan pegawai pengurus pilihan raya Chai Ko Het supaya undi dikira semula di pusat penjumlahan undi malam tadi.
"Kami tidak puas hati, beliau (Chai) tidak memberi kami sebarang alasan yang kukuh berikutan keengganannya itu," kata beliau kepada pemberita.
Lee memperoleh sejumlah 7,334 undi dan mengalahkan Dr Teo yang meraih 7,276 undi.
Penyokong PKR, termasuk anggota Exco Selangor Elizabeth Wong, yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, enggan meninggal stadium tiga jam selepas keputusan diumumkan untuk mendesak Chai melakukan kiraan semula.
Kemenangan PR Di Kubu Kuat BN : Pukulan Hebat Buat Najib, Kata Kit Siang
SHAH ALAM : Kemenangan terbesar pembangkang di pilihanraya DUN Sarawak setakat ini merupakan satu pukulan hebat kepada BN terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat gagal memenangi hati rakyat Sarawak dan memberikan BN satu kemenangan besar.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika dihubungi TV Selangor berkata, walaupun PR tidak berjaya menafikan majoriti dua pertiga kepada BN tetapi kemenangan PR setakat ini telah memberikan kejutan besar kepada Tan Sri Taib Mahmud.
"Tak pernah ada begitu ramai ahli-ahli ADUN yang melawan BN dan, sungguhpun kita tidak dapat menafikan majoriti dua pertiga, patutnya menjadi satu iktibar kepada yang pertama kepada Ketua Menteri, masa untuk beliau turun sudah sampai, tak patut lagi melengah-lengahkan," kata beliau.
Tambah beliau, dalam pada rakyat Sarawak mula menolak BN dan menerima PR, Najib juga dilihat semakin lemah kerana walaupun mengetuai kempen bersama kesemua ahli Kabinet tetapi masih gagal memberikan kemenangan besar kepada BN di Sarawak.
"Dan kedua, sebagai satu pukulan hebat kepada PM oleh kerana Datuk Seri Najib sendiri ada mengetuai satu kempen dan menggerakkan semua anggota-anggota kabinet, jemaah menteri datang menjadikan pilihanraya negeri ini satu pilihanraya besar untuk seluruh negara," tegas beliau lagi.
Katanya lagi, Perdana Menteri juga perlu mengambil pengajaran serta menghalusi dan memahami sebab-sebab kekalahan BN terutamanya di kawasan-kawasan yang dianggap sebagai 'kubu kuat' BN di Sarawak.
Pilihan raya negeri Sarawak pada 2006 menyaksikan BN menang 62 kerusi, manakala 9 kerusi dimenangi masing-masing PKR-1,SNAP-1, Bebas-1 dan DAP 6.
Namun pada pilihan raya negeri kali ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan DAP berjaya merampas 12 kerusi, PKR 3 dan Bebas 1.
Penganalisis Politik : Najib Mungkin Tunda PRU-13
SHAH ALAM :Kehilangan 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak mungkin menyebabkan hasrat Perdana Menteri Najib Razak membubarkan parlimen tahun ini, terbantut.
Walaupun berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga, ia belum cukup gah untuk memberi jaminan kepada BN bahawa tampuk kekuasaan akan kekal menjadi milik gagasan itu, kata Penganalisis Politik, Prof Dr Abdul Aziz Bari.
Beliau ketika dihubungi Tv Selangor menambah, walaupun Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini berkata, PRN Sarawak akan dijadikan inspirasi bagi menentukan pilihan raya umum, namun pada masa kini, Najib perlu memikirkan hal itu sedalam-dalamnya.
"Ramai yang melihat bahawa keputusan PRN Sarawak kali ini, BN tidak akan berani untuk membuat pilihanraya umum dalam masa terdekat. Oleh kerana mereka melihat penentangan segolongan besar pengundi itu masih kekal.
"Dari segi kemenangannya pula saya fikir ia adalah kemenangan yang agak mahal kerana mereka terpaksa membelanjakan banyak dengan membeli secara terbuka di sesetengah tempat," kata Aziz.
"Jadi dalam konteks Sarawak, simpanan tetap itu mungkin lebih sukar lagi kerana ketua menteri yang dilantik itu akan kekal untuk jangka masa tiga hingga empat tahun lagi dan tidak mudah untuk Najib menyingkitkan Taib dengan mudah," tambahnya lagi.
Menurut Aziz, selain perlu memikirkan merosotnya sokongan pengundi di Sarawak kepada BN terutama sekali terhadap Ketua Menterinya, Taib Mahmud, Najib sekali lagi "tersentak" apabila Taib mengumumkan hanya akan bersara "sekitar pertengahan penggal ini".
Taib yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak malam tadi, sekali lagi menzahirkan hasratnya untuk berundur buat kesekian kalinya.
Kenyataan Taib itu bercanggah dengan Najib yang mengumumkan bahawa Taib akan berundur selepas PRN negeri ketika siri kempennya.
"Dengan kata lain, Taib Mahmud akan terus menjadi liabiliti di Sarawak dalam tempoh dua hingga tiga tahun. Dan pilihanraya (pula) terpaksa diadakan dalam tempoh lebih awal dari itu," jelas Aziz, sekaligus mendatangkan masalah kepada Najib.
Oleh itu katanya, kejayaan BN mengekalkan kuasanya di Bumi Kenyalang bukanlah suatu perkembangan positif yang mampu mengekalkan keyakinan rakyat untuk terus setia bersama parti itu.
Dengan kata lain, kemenangan di Sarawak dengan mengekalkan dua pertiga majoriti bukan semestinya baik kepada BN. Khususnya dari segi menjamin kemenangan dalam PRU 13.
"BN tidak boleh lagi menganggap Sarawak sesuatu yang selamat lagi. Pakatan Rakyat semakin kuat dan diterima kerana ia bukanlah satu andaian kerana ia adalah fakta bahawa mereka sudah semakin diterima sebagai satu entiti yang mantap," jelasnya lagi.
Malah kata Aziz, dapat dilihat ketidaksefahaman antara Najib dan Taib apabila Pengerusi BN itu lebih memikirkan kemenangan kepada BN namun Taib sebaliknya mahu kekal di tampuk pemerintahan tanpa mempedulikan keputusan pilihan raya.
Namun ujar beliau, apa yang lebih penting ialah perjuangan dan keinginan memuncak rakyat yang mahukan perubahan.
Rakyat Sarawak dilihat mula membuka ruang kepada pembangkang dan ia merupakan petanda positif bahawa masyarakat di negeri Bumi Kenyalang semakin menerima sistem dua parti di negara ini.
Tambah Aziz, menerusi jumlah kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat pada pilihanraya negeri itu semalam, jelas menunjukkan bahawa ia adalah pencapaian yang mampu menggugat kedudukan BN di Sarawak.
Ini kerana, Pakatan Rakyat bukan sahaja berjaya menangkis permasalahan yang ditimbulkan parti lawan, malah sikap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri yang berperanan untuk memenangkan BN gagal melemahkan pembangkang untuk membawa perubahan besar kepada rakyat di negeri itu.
"Saya fikir begitu, walaupun PR tidak dapat mencapai matlamat menafikan dua pertiga majoriti BN. Tetapi saya fikir dengan keadaan pilihan raya dan sikap SPR sendiri dengan apa yang dicapai sekarang adalah sesuatu yang sesuai dan munasabah. Kali ini juga PR bertanding sebagai Pakatan yang agak formal, dengan kata lainnya ia sebagai satu permulaan untuk kewujudan sistem dua parti di Sarawak terutamanya," kata Aziz.
Pilihanraya Negeri Sarawak ke 10 semalam menyaksikan Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan di 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan DAP menyumbang 12 kemenangan, PKR tiga manakala PAS tidak memperoleh sebarang kerusi.
Manakala Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerajaan negeri Sarawak dengan memperoleh kemenangan lebih dua pertiga iaitu 55 kerusi DUN.
Sementara Bebas memenangi satu kerusi.
Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan SPR malam tadi, Pakatan Rakyat berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pada pilihan raya negeri 2006 yang mana ketika itu BN memperoleh 63 kerusi.
Aziz turut menyifatkan kemenangan majoriti dua pertiga BN dengan terpaksa membelanjakan sehingga lebih RM500 juta adalah tidak memadai dengan apa yang telah diperoleh parti itu.
"Untuk pilihanraya kali ini BN membelanjakan RM500 juta dengan di sesetengah tempat Mykad dikeluarkan dengan mudah. Jadi dengan kata lain masalah SPR, undi pos dan sebagainya dan kita lihat bahawa pilihanraya itu tidak ditandingi dengan cara yang saksama dan adil. Jadi saya fikir memang ia perlu dihadapi dan ini antara perkara yang kita perlu lihat," kata Aziz.