Oleh SiasahDaily
Kedudukan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjadi isu yang perlu ditangani Barisan Nasional selepas mencapai kemenangan besar mengekalkan dua pertiga kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Pengunduran Taib dan peralihan kuasa bakal menjadi tuntutan banyak pihak selepas berakhir Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 semalam.Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin semalam dilapor berkata BN perlu melaksanakan janji mengadakan peralihan kuasa di Sarawak.
Kedudukan Taib - yang segera mengangkat sumpah selepas BN berjaya menubuh kerajaan - masih kukuh ekoran kejayaan memastikan kemenangan selesa walaupun berdepan tekanan kuat pembangkang.
Walaupun terjejas sebagai "simpanan tetap" bagi BN untuk Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, Sarawak tetap masih dilihat selamat bagi BN, dan menguatkan sebab kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mengadakan pilihan raya umum tahun ini.
Taib telah berjaya memastikan BN kekal dengan dua pertiga kerusi di Sarawak. Prestasi BN dalam pilihan raya umum akan datang, sama ada berjaya atau tidak mendapat semula dua pertiga, bakal mengalih tumpuan kepada Najib pula.
Najib telahpun mengatakan BN akan berdepan saingan sengit pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti. Tetapi beliau dijangka tetap akan berdepan cabaran dan tekanan sekiranya BN tidak berjaya mengekalkan dua pertiga di Parlimen selepas pilihan raya itu nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan