Isnin, 18 April 2011

Dari 9 ke 15 kerusi isyarat positif - Nik Aziz

Rizal Tahir


PENGKALAN CHEPA: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan kemenangan calon Pakatan Rakyat yang berjaya menawan 15 kerusi pada pilihanraya umum Sarawak, sebagai isyarat rakyat di negeri itu inginkan perubahan.

Katanya, walaupun BN berjaya membentuk kerajaan, hakikatnya mereka telah tergugat dengan parti lawan khasnya dari Pakatan Rakyat apabila pertambahan kerusi dan jumlah undi begitu ketara diperolehi.

(Gambar: MB Kelantan, menyampaikan sumbangan peribadinya di samping sumbangan penderma dari
petugas di Beting Maro kepada anak sulung Allahyarham Mohd Izan Yaacob, (Mohd Shah) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang semalam.
)


“Sebelum ini BN begitu bangga kononnya bakal pengganti Taib telah ada, sekarang terdiam mana ada bakal pengganti lagi,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung keputusan Pilihanaraya Umum Sarawak di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, semalam.

Nik Aziz berada di sini untuk menerima jenazah Allahyarham Mohd Izan Yaacob, petugas PAS dari Kelantan yang meninggal di Beting Maro 16 April lepas.

Beliau telah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Izan di samping menyampaikan sumbangan peribadi kepada anak beliau sebagai tanda simpati dari PAS dan kerajaan negeri kepada keluarga beliau.

Menurut Nik Aziz, walaupun PAS gagal memenangi mana-mana kerusi yang dipertandingkan, namun rakan dari Pakatan Rakyat berjaya menambah kerusi masing-masing termasuk jumlah undi juga semakin meningkat.

“Begitu juga calon PAS, walaupun gagal memperolehi kemenangan, namun ternyata secara keseluruhannya jumlah undi untuk mereka juga bertambah dan ianya memberi peluang yang cerah untuk masa depan.

“Lebih membanggakan kita, masyarakat Iban boleh menerima calon kita, itu petanda yang baik bagi perjuangan Islam,”ujarnya.

Menurutnya lagi, Malaysia sekarang mempunyai generasi muda yang berpandangan Islam lebih hebat dan diharapkan perjuangan itu akan sampai di Sarawak dengan lebih cepat lagi.

Ketika diminta mengulas berhubung sokongan masyarakat terhadap calon DAP khususnya di bandar begitu meningkat, beliau menyifatkan ianya berpunca dari masyarakat kawasan bandar khususnya mempunyai pengetahuan maklumat yang lebih jelas hingga menolak BN walaupun pelbagai janji diberikan.

Sambungnya lagi, sama ada orang Cina atau Melayu tidak menjadi masaalah, yang penting mereka penyokong keadilan yang telah menolak kepimpinan yang zalim.

“Cina ke mereka, Melayu ke mereka, tidak menjadi masaalah. Yang penting mereka tahu BN zalim.

“Dalam kempen pilihanraya BN zalim, dalam kerajaan juga zalim, bukan soal bangsa Cina, kalau tidak cina DAP, Cina MCA, sama saja, jadi jangan persoal kemenagan calon DAP,”ujarnya.

Pada masa yang sama, katanya kempen memburukkan peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa terlibat dengan kegiatan seks juga langsung tidak termakan oleh masyarakat di negeri itu.

Bukan itu sahaja, kempen buruk yang di bawa oleh Umno Kelantan yang mengatakan beliau kahwin tiga telah disebarkan di sana juga tidak diterima oleh rakyat Sarawak.

“Sampai ke tahap itu Umno ni sanggup memfitnah dan menipu orang untuk kepentingan politik mereka,”ujarnya.

Tiada ulasan: