PASIR MAS: Kerajaan memulakan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Sungai Golok bagi menangani masalah banjir yang melanda kawasan tersebut setiap tahun.
Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelaksanaan projek bernilai RM1.029 bilion itu dilakukan dalam 3 fasa dengan fasa pertama yang dijangka siap pada April 2022 menelan belanja RM300 juta.
“Projek ini akan memberi manfaat kepada 45,700 penduduk, meliputi kawasan seluas 225 kilometer (km) persegi,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek PLSB, Sungai Golok (Kesban) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, komponen utama projek membabitkan kerja-kerja tebatan banjir dan kerja-kerja di muara Sungai Golok.
“Komponen kerja tebatan banjir melibatkan pembinaan ban banjir Sungai Golok sepanjang 26 km, ban banjir Sungai Mentua (8 km), ban banjir di Sungai Lemal, Lanchang (19 km) dan pembinaan pintu air Kuala Jambu.
“Kerja penambahbaikan di muara Sungai Golok akan dilaksanakan dengan pembinaan benteng dinding dan penyediaan laluan pelayaran,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan