Oleh Sheridan Mahavera
Menteri
Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berucap di sidang Dewan
Undangan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini. Gambar The Malaysian
Insider oleh Najjua Zulkefli,
Bagi
menjelaskan betapa rumitnya cabaran untuk merancang belanjawan bagi
negeri paling kaya dan padat di Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu
Klang, Saari Sungib menceritakan tentang banjir lumpur di sebuah taman
perumahan banglo mewah di lereng bukit berdekatan Kemensah.
“Orang selalu menganggap banjir hanya berlaku di dalam lembah, tapi di
Selangor boleh jadi atas bukit,” katanya ketika mengimbau peristiwa enam
tahun lalu di kawasannya.
“Banglo itu musnah dihempap banjir lumpur. Ini kerana apabila hujan,
sistem perparitan di taman itu tidak dapat menampung air hujan yang
melimpah,” katanya.
Beliau berkata, parit juga tersumbat dengan tanah, lalu air yang
melimpah keluar meresap ke dalam cerun bukit dan melemahkan struktur
tanah mengakibatkan terjadi banjir lumpur yang turun menghempap rumah
banglo di situ.
Peristiwa itu menunjukkan bagaimana projek baru, sama ada ia perumahan
atau kedai komersial, tidak boleh dirancang dan diluluskan secara
berasingan atau “piece meal” oleh agensi kerajaan yang tidak merujuk
antara satu sama lain.
Kelulusan diberikan oleh pihak berkuasa tempatan tetapi pembinaan
sistem perparitan untuk projek tersebut akan datang daripada Jabatan
Parit dan Saliran (JPS).
Saari berkata, berikutan kedua-dua agensi itu perlu bekerjasama dengan
rapat untuk mengeluarkan rancangan komprehensif, maka dana yang
diperuntukkan kepada mereka patut setimpal dengan tanggungjawab
tersebut.
katanya, kerajaan negeri Selangor boleh memberikan RM 100 juta untuk
projek penembatan banjir, seperti dalam belanjawan 2013, tetapi
persoalan yang juga penting adalah siapa yang mendapat dana tersebut dan
bagaimana ia dibelanjakan.
Bagi sebuah negeri yang pesat dibandarkan (urbanised state), pengawalan
bagi memastikan dana dibelanjakan dengan efektif dan berkesan adalah
isu penting setiap kali Selangor membentangkan belanjawannya.
Seperti contoh banjir lumpur di atas, tidak cukup untuk sekadar
meluluskan projek. Kerajaan Negeri perlu memastikan setiap projek tidak
memudaratkan bangunan di sekitarnya dan setiap sen yang dibelanjakan
untuk infrastruktur sokongan harus dibelanjakan dengan baik.
Pengawalan berhemah
Disiplin kewangan atau “fiscal discipline” adalah satu prinsip yang
disanjung tinggi oleh pentadbiran Pakatan Rakyat di bawah Menteri Besar,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar).
Pegangan tersebut membolehkan Pakatan mengumpul dana simpanan sebanyak
RM2.7 bilion dalam masa enam tahun, daripada RM400 juta yang diwarisi
daripada pemerintahan Barisan Nasional pada 2008.
Pelaksanaan prinsip itu juga adalah penyebab setiap tahun Selangor
mendapat markah tinggi menerusi penilaian Ketua Audit Negara.
Tetapi, selepas bertahun-tahun mengumpul rizab yang begitu besar, Adun
Pakatan Selangor sendiri melalui Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) menuntut
kerajaan negeri Selangor membelanjakan sebahagian daripada simpanan
untuk pembangunan.
Tuntutan tersebut dibuat dalam beberapa mesyuarat bersama Abdul Khalid
semasa kerajaan negeri sedang mengumpul maklum balas bagi merancang
belanjawan.
Apabila Abdul Khalid memaklumkan bahawa Selangor akan memperuntukkan
RM430 juta daripada wang rizab tersebut untuk beberapa inisiatif seperti
jambatan ketiga Klang dan pembinaan rumah mampu milik, usaha tersebut
mendapat sokongan Adun Pakatan.
Ini kerana, apabila RM430 juta itu ditambah dengan peruntukan di dalam
belanjawan 2014 untuk pembangunan, jumlah keseluruhan untuk pembangunan
negeri adalah terbesar berbanding tahun-tahun yang lalu.
Daripada segi peratusan, Selangor akan membelanjakan 53.7% daripada
jumlah belanjawan dan duit rizab RM430 itu untuk kos operasi, manakala
46.3% akan dibelanjakan untuk projek dan program pembangunan.
Berbeza dengan kerajaan persekutuan Barisan Nasional yang membelanjakan
83% duit dalam belanjawan persekutuan 2014 untuk kos operasi dan hanya
17% untuk pembangunan.
Tetapi, walaupun Selangor memperuntukkan jumlah yang besar untuk
pembangunan, Adun Pakatan berkata, apa yang penting adalah duit tersebut
dibelanja dengan berhemah.
Menyimpan untuk berbelanja lebih
Adun Bukit Antarabangsa,Azmin Ali merujuk kepada prinsip ini apabila
beliau mengeluarkan kenyataan berhubung pengurangan peruntukan bagi
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.
Keputusan itu dibuat setelah JPS Selangor didapati hanya membelanjakan
61% dana yang diperuntukkan kepadanya bagi tahun ini setakat September.
“Tetapi kerajaan negeri tidak patut potong dana JPS,” katanya kerana
JPS bertanggungjawab terhadap sistem perparitan dan kawalan banjir di
Selangor.
“Sekiranya negeri potong peruntukan ia seperti menghukum rakyat. Kita
sepatutnya mengawal dengan lebih teliti bagaimana dana tersebut
dibelanjakan supaya wang itu dibelanja dengan baik,” katanya.
Malah projek yang mahu menggunakan rizab RM430 juta itu perlu
disertakan dengan pelan pembangunan yang akan dibentangkan dalam Dewan
Negeri Selangor terlebih dahulu sebelum duit itu dapat digunakan.
“Rizab kita akan dibelanjakan dengan telus dan berhemah. Bukan macam
dulu semasa BN apabila duit banyak masuk tetapi tiada siapa tahu ke mana
ia dibelanjakan,” kata Azmin, yang juga pengerusi BBC Selangor.
Saari berkata, secara idealnya, pengawalan perbelanjaan yang efektif
akan mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan operasi dan duit yang
dijimatkan daripada pengurangan ketirisan itu akan dimasukkan ke dalam
rizab simpanan.
Lebih banyak dana rizab simpanan, lebih banyak dana yang boleh
diperuntukkan untuk projek seperti rumah mampu milik, pembangunan
usahawan dan penembatan banjir.
Ia juga boleh digunakan untuk merancang pelan induk trafik untuk
seluruh Selangor, seperti yang dicadangkan oleh Adun Bukit Gasing, Rajiv
Rishyakaran.
Ini kerana semakin banyak kawasan penempatan di Selangor mengalami perbandaran yang pesat atau urbanisation.
“Sekarang semuanya dirancang berasingan. Misalnya, jalan raya tidak diselaraskan dengan laluan bas dan rel.
“Kita juga tidak merancang pembangunan pengangkutan awam selari dengan
peningkatan penduduk. Sekiranya kita terus dengan sikap ini semua jalan
kita akan sesak selamanya,” katanya.
Selangor tidak seperti negeri lain yang mempunyai kawasan yang lapang
untuk pembinaan menyebabkan setiap pembinaan dilakukan di kawasan yang
sudah padat atau “akan padat”.
Kegagalan untuk mencapai keseimbangan antara operasi dan pembangunan
seperti kegagalan untuk merancang sebuah belanjawan yang seimbang, akan
memberi impak yang besar kepada negeri.
Keseimbangan boleh menjadikan Selangor sebuah negeri yang walaupun
padat, ia selesa untuk bermastautin dan membesarkan keluarga.
Manakala kegagalan untuk mencapai keseimbangan itu boleh menjadikan negeri sebuah hutan konkrit yang sesak dan selalu banjir.