Selasa, 7 Oktober 2014

Belanjawan Selangor 2015 tumpu isu perumahan dan pendidikan

Oleh AFIX REDZUAN


HULU KELANG: Belanjawan Negeri Selangor 2015 akan menumpukan prospek pembangunan perumahan dan pendidikan rakyat.

Datuk Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata rizab simpanan negeri berjumlah RM3.3 bilion itu akan dibelanjakan bagi mencapai penumpuan itu.

“Kita akan lebih menumpukan kepada program pembangunan kepada rakyat.

“Sebagai contoh seperti infrastruktur, pembangunan, kediaman rakyat.

“Penumpuan utama juga diberikan kepada perumahan dan pendidikan,” katanya kepada media di majlis sambutan Aidiladha bersama rakyat di Hulu Kelang.

Azmin bagaimanapun menambah pentadbirannya masih memperhalusi beberapa perkara lain menyentuh kebajikan rakyat untuk dimasukkan dalam belanjawan itu nanti. Perbincangan terakhir memuktamadkan agenda belanjawan ini akan diadakan Rabu depan.

Belanjawan Negeri Selangor 2015 akan dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bersidang November ini.

Menyentuh program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang telah dijalankan sejak tahun 2008, Azmin mahu meneruskan perlaksanaan program itu dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

“Yang penting setiap dana di peringkat negeri itu mesti dibelanjakan untuk kepentingan rakyat Negeri Selangor tetapi ia mestilah dalam bentuk pembangunan dan kebajikan Negeri Selangor.

“Maka program sedia ada akan diteruskan dan ia akan ditambah baik sekiranya ada keperluan berbuat demikian,” tegas beliau.

Sebanyak 17 program MES yang telah diperkenalkan adalah pemberian air percuma 20m3, Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Kesihatan Wanita dan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas).HM

Tiada ulasan: