Jumaat, 5 September 2014

Pindaan ini akan meningkatkan pendapatan negara sehingga RM 300 juta setahun dan bakal memberikan impak letusan ekonomi khususnya di kawasan selatan Semenanjung Malaysia

photo 2 (3)


PUTRAJAYA: Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard yang mewakili Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membentangkan beberapa cadangan bagi Belanjawan 2015 kepada Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dalam menambah pendapatan negara sambil mengurangkan beban rakyat.

“Set cadangan ini adalah hasi Bengkel Pengurusan Ekonomi 2012 anjuran SAMM. Cadangan ini telah dibuat dua tahun lepas, di mana kita pernah ajukan kepada beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

“Namun kemungkinan suara anak muda biasa seperti SAMM ini tidak dilihat penting maka ia seolah tidak diangkat,” katanya yang ditemui di pejabat Kementerian Kewangan, sebentar tadi.

Menurut Chegubard, menyedari impak kesan ekonomi global yang kesan langsungnya terus kepada rakyat, maka cabarannya kini ialah menambah pendapatan negara dalam keadaan meminimakan impak kepada rakyat.

“Antara cadangan yang dikemukakan ialah Pindaan Perintah Levi yang kali terakhir dipinda pada tahun 1983.

“Pindaan ini akan meningkatkan pendapatan negara sehingga RM 300 juta setahun dan bakal memberikan impak letusan ekonomi khususnya di kawasan selatan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau akui sebelum ini, SAMM dikenali dengan pelbagai konotasi negatif tetapi kelompok anak muda dalam SAMM juga mempunyai pandangan radikal yang praktikal dalam mentadbir negara.

“Kami lihat pagi ini sebagai satu ruang dan permulaan jambatan untuk semua pihak terlibat dengan tanggungjawab dalam memastikan Malaysia kembali berdaya saing,” akhiri beliau.

Tiada ulasan: