Selasa, 7 Oktober 2014

Belanjawan 2015: Berisiko bangkrapkan negara, Najib perlu jelaskan hutang RM36 bilion 1MDB

 tony pua pc semalam2


Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri perlu menjelaskan kesan hutang mega RM36 bilion yang ditanggung 1Malaysia Development Berhad yang berisiko membangkrapkan negara, menjelang pembentangan Belanjawan 2015 Jumaat ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, dalam tempoh lima tahun penubuhannya, badan pelaburan milik Kementerian Kewangan itu telah mengumpul hutang setinggi itu, dan sebahagiannya sudah sampai tempoh pembayaran.

“Jika ia tumbang dengan membawa hutang itu – satu kebarangkalian yang semakin dibimbangi masyarakat kewangan – Najib akan dikenang sejarah sebagai Perdana Menteri yang mungkin membangkrapkan kerajaan Malaysia.

“Maka, beliau perlu menjelaskannya Jumaat ini. Sebarang pengumuman (belanjawan) tanpa menyentuh isu ini menunjukkan ada sesuatu yang disembunyikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut laman Kinibiz, 1MDB merancang untuk meraih RM8.4 bilion sukuk untuk mendanai kegiatannya tahun ini.

Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sendiri menyerang Najib melalui isu ini, apabila berkata wang untuk badan itu hasil daripada hutang negara, dan Malaysia yang mengalami belanjawan defisit setiap tahun tidak mungkin membayar hutang sebesar itu.

Mengulas lanjut, Pua mengecam tindakan kerajaan yang menganugerahkan pelbagai kontrak kepada 1MDB yang merugikan rakyat, demi menyelamatkan badan itu.

Antaranya, katanya lagi, adalah mengenepikan komitmen untuk menjalankan tender terbuka bagi kontrak penjana tenaga bebas (IPP), sebaliknya memberikannya secara terus kepada 1MDB walaupun ia bukanlah pembida terendah, serta projek tenaga solar 50 megaWatt di Kedah pada Mac dan stesen jana kuasa gas 2,400 megaWatt pada Ogos lalu – yang sebenarnya tidak pun diperlukan sehingga tahun 2021.

“Tindakan ini secara jelas ‘bail-out’ yang amat mahal oleh kerajaan. 1MDB amat terdesak untuk mendapatkan hasil mencukupi untuk membayar hutangnya, yang antaranya berpunca daripada pembelian lebih tinggi daripada harga pasaran ke atas syarikat IPP yang hampir tamat tempoh dua tahun lalu,” katanya lagi.

“Ironinya, 1MDB memiliki aset cair RM7.18 bilion yang dilaburkan di Kepulauan Cayman, yang terkenal sebagai tempat mengelakkan daripada cukai. Tahun lalu, ia hanya memberi pulangan 5.76 peratus walaupun kos dana tersebut melebihi 6 peratus,” katanya lagi.

Justeru itu, kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu lagi, Najib tidak boleh lagi mengelak daripada menjelaskannya, apatah lagi ‘projek peliharaannya’ (pet project) itu boleh secara sendirian menghancurkan sistem kewangan negara.

“Ia termasuk pembelian tanah seluas 238 ekar di Pulau Pinang dengan harga RM1.38 bilion, di mana ia menjanjikan untuk membina 9,999 buah rumah mampu milik, enam hari sebelum Pilihanraya Umum lalu. Lebih setahun, tiada apa yang berlaku terhadap projek yang dibayar melalui hutang dengan institusi kewangan itu.

“Hutang langsung dan tidak langsung sebanyak RM36 bilion ini menggelapkan peluang penambahbaikan dalam belanjawan defisit yang akan diumumkan Najib Jumaat ini,” katanya lagi. – Roketkini.com

Tiada ulasan: