Khamis, 5 Ogos 2021

Wan Fayhsal akui jumpa Syed Saddiq tapi nafi buat sebarang tawaran

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Ketua Pemuda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakui dia ada bertemu dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini tetapi menafikan membuat sebarang tawaran kepada ahli parlimen Muar itu.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata pertemuan tersebut berdasarkan kapasiti peribadi dan persahabatan, memandangkan Syed Saddiq merupakan bekas ketua Armada dan juga bekas menteri di kementeriannya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang tohmahan yang telah dilontarkan kepada saya. Saya tidak membuat apa-apa tawaran atau ugutan. Ini tidak benar.

“Dakwaan bahawa kes mahkamah yang sedang dihadapi telah ‘direka’ amatlah tak berasas kerana laporan polis yang membawa kepada kes ini dibuat oleh Syed Saddiq sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal menjawab dakwaan Syed Saddiq bahawa dia pernah memujuknya untuk kembali kepada Bersatu dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Syed Saddiq mendakwa ajakan itu dibuat sebelum dia didakwa di mahkamah atas tuduhan menyeleweng dana Bersatu, yang didakwanya sebagai satu tekanan politik terhadapnya.

“Saya rasa kalian boleh fikirkan, kalau betullah saya curi duit parti, kenapa nak suruh saya kembali menyokong?" soal Syed Saddiq.


Syed Saddiq: Wan Fayhsal pujuk saya sokong PM sebelum didakwa


Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata dia mengadakan pertemuan itu kerana menganggap Syed Saddiq sebagai sahabat baik dan rakan seperjuangan sebelum ini.

“Idea yang saya bawakan adalah mengetepikan perseteruan politik dan menggembleng semangat penyatuan anak muda demi untuk membina semula negara secara bersama,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya Syed Saddiq yakin bahawa dirinya tidak bersalah, perkara itu haruslah dibuktikan di mahkamah.

Untuk rekod, sebelum ini Syed Saddiq dahulunya ketua Pemuda Bersatu (Armada) digugurkan keahlian selepas parti itu keluar daripada PH dan menubuhkan gabungan PN.

Dia kini berdepan dua tuduhan menyalahgunakan dana Bersatu bernilai RM1.12 juta dan RM120,000.

Tiada ulasan: