Khamis, 12 Ogos 2021

Presiden ‘caretaker’ UMNO ditentang di bahagian sendiri


Kain rentang mendesak Presiden 'caretaker' UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan dipasang di bahagian Bagan Datuk..

Bukan setakat ratusan bahagian UMNO di seluruh Malaysia mendesak Presiden ‘caretaker’ UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan, malah di dalam bahagiannya sendiri sudah ada ahli akar umbi yang tidak puas hati dengan tindak tanduk beliau kebelakangan ini.

Walaupun mereka tidak menyatakan secara terbuka penentangan terhadap Zahid yang mengetuai UMNO Bahagian Bagan Datuk, namun ternyata akar umbi parti itu sudah menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap beliau.

Perasaan itu diluahkan ahli akar umbi UMNO bahagian itu menerusi tindakan mereka menggantung kain rentang mendesak Zahid meletak jawatan dengan segera kerana sudah hilang sokongan.

Difahamkan, kain rentang itu digantung di persimpangan jalan dan hentian bas di sekitar Bagan Datuk mula disedari orang awam pada pagi Rabu.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Mohd Rizan Razali dilaporkan berkata kain rentang itu dikesan seawal jam 7.30 pagi di beberapa tempat sepanjang jalan dari Pekan Bagan Datuk hingga ke Hutan Melintang.

Menurut beliau, Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk telah digerakkan ke seluruh kawasan untuk menurunkan kain rentang provokasi berkenaan.

Memetik laporan sebuah portal berita Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk akan membuat laporan polis hari ini bagi meminta pihak berkuasa menyiasat tindakan tersebut.

Sebelum ini Agenda Daily turut melaporkan lebih 100 Ketua UMNO Bahagian seluruh negara sepakat mendesak Zahid berundur setelah tindak tanduknya kebelakangan ini telah memalukan dan menjatuhkan maruah UMNO, selain tiada hala tuju jelas.

Difahamkan gerakan ketua-ketua UMNO bahagian mendesak Zahid meletak jawatan bermula di Johor, negeri kelahiran UMNO sendiri. Ia disahkan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin sendiri.

Dalam keadaan rakyat berdepan isu ekonomi susulan penularan wabak Covid-19, Zahid berusaha keras menjalankan gerakan bersama kem kecilnya di dalam UMNO untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut dianggotai menteri dan timbalan menteri daripada UMNO.

Usaha Zahid yang turut disertai bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu turut mendapat restu daripada sekutu rapatnya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengharapkan kem Zahid menyokongnya sebagai calon Perdana Menteri.

Terbaharu Zahid sibuk mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong mendakwa 14 Ahli Parlimen UMNO tidak lagi menyokong Muhyiddin dan kerajaan PN disusuli surat parti diketuai rakan Zahid daripada PKR, DAP dan AMANAH.

Sedangkan sebelum itu Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan kepada Muhyiddin untuk membawa usul percaya pada sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula 6 September ini, bagi menentukan keabsahan kepimpinannya.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan terhadap pemimpin yang menganggu tugas kerajaan tatkala rakyat berada dalam kesusahan susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Saya berasa kecewa apabila ada pemimpin yang menggangu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah semua pemimpin perlu jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah.

“…Bukannya kepentingan diri sendiri sehingga mengugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanah air.

“Sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat, bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan,” titah baginda.

Tiada ulasan: