Polis mengesahkan membuka kertas siasatan susulan tular gambar menunjukkan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di Pusat Dalam Komuniti (PKD) Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, di Batu Pahat, Johor.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata pihaknya mengesan gambar yang tular itu kira-kira jam 3.30 petang yang tular di media sosial.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, pada pukul 3.45 petang polis telah ke lokasi berkenaan dan mendapati bendera itu telah diturunkan selain bangunan itu telah ditutup.
“Pihak polis sedang berusaha mengesan pekerja dan penyelia PDK berkenaan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
DUN Penggaram diwakili Gan Peck Cheng daripada DAP yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Susulan itu beberapa komuniti meluahkan kekecewaan sambil mempertikaikan tindakan memasang bendera Malaysia secara terbalik.
Selepas puluhan tahun negara mencapai kemerdekaan, masih ada yang ‘tidak tahu’ atau ‘tidak pandai’ memasang serta mengibarkan Jalur Gemilang yang sepatutnya menjadi kebanggaan semua rakyat Malaysia, kata mereka.
Mereka turut mempertikaikan adakah pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik itu disengajakan?
Pada 2013 lalu puluhan pelajar Cina yang menuntut di Taiwan berhimpun sambil memegang Jalur Gemilang secara terbalik, kononnya sebagai membantah apa yang mereka katakan pilihan raya tidak adil.
Bagaimanapun setelah menerima kecaman hebat, kumpulan pelajar terbabit memohon maaf atas perbuatan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan