Rabu, 1 September 2021

'Dr Siddiq tinggalkan ruang besar'

KUALA LUMPUR: Pemergian bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil, hari ini, disifatkan sebagai kehilangan besar kepada ummah dan tanah air.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pemergian Allahyarham Siddiq turut memberi kesan besar kepada komuniti dan dunia akademik.

Mohamed Azmin berkata, sarjana Islam itu terbabit secara aktif dalam dunia akademik dan dakwah, selain menghasilkan buku dan artikel dalam pelbagai topik termasuk pemikiran dan sains Islam, pengajian Al Quran, sejarah serta budaya orang Melayu Islam.

"Saya amat dukacita dan sedih di atas pemergian sarjana Islam dan murabbi ummah, Prof Datuk Dr. Siddiq Fadzil petang tadi.

"Secara peribadi, saya mengenali Allahyarham sebagai seorang tokoh ilmuwan yang punyai wacana mengenai falsafah pencerahan, pendidikan dan pembangunan ummah.

"Saya amat teruja dalam beberapa kesempatan mengadakan perbincangan dengan Allahyarham mengenai pelbagai isu, khususnya ummah dan sosio-ekonomi.

"Saya berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Allahyarham dikurniakan husnul khatimah dan ditempatkan di syurga yang penuh dengan nikmat Allah SWT.

"Moga keluarga dan waris Allahyarham juga dianugerahkan dengan ketabahan dan kesabaran yang mendalam dalam menghadapi ujian ini," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Terdahulu, pimpinan ABIM, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dalam satu kenyataan, memaklumkan Siddiq yang juga Tokoh Maal Hijrah 1440H/2018M, menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.32 petang tadi.

Mohamed Azmin berkata, Allahyarham Siddiq yang menjadi Presiden ABIM antara 1983 hingga 1991, berperanan penting dalam menubuhkan PKPIM dan WADAH.

Katanya, kehebatan Siddiq dapat dilihat melalui beberapa karyanya seperti buku 'Melayu dan Islam: Martabat Umat dan Daulat Rakyat' yang disifatkan Mohamed Azmin sebagai 'magnum opus' (karya agung).

Mohamed Azmin berkata, ia kekal menjadi maha karya Siddiq dalam wacana mengenai orang Melayu dan Islam dalam memajukan kedaulatan dan martabat umat.

"Dalam menghurai perspektif baharu mengenai dimensi budaya orang Melayu, Allahyarham mengemukakan pandangan bahawa dunia Melayu berakar pada tradisi dan dibangun atas prinsip nationalisme dan tidak melupakan 'essence of spirituality.

"Sebagai pendita, Allahyarham memberi kekuatan baharu kepada bahasa Melayu dalam pengungkapan dan buah fikiran.

"Setiap tulisan dan syarahan beliau adalah bukti kesusasteraan Melayu tinggi, yang mana bahasa yang menjadi wahana kepada pengucapan ilmu dan pemikiran," katanya

Tiada ulasan: