Isnin, 9 Ogos 2021

Padah berseronok sambut hari lahir di kondominium, 11 ditahan polis

Polis memeriksa individu yang didapati berseronok menganjurkan majlis sambutan hari lahir i sebuah kondominium di Jalan Lestari, Butterworth, Pulau Pinang, malam tadi.

KELEKAAN 11 individu berseronok menganjurkan majlis sambutan hari lahir dengan muzik yang kuat di sebuah kondominium di Jalan Lestari, Butterworth, Pulau Pinang mengundang padah apabila kesemua mereka ditahan polis dalam satu serbuan malam tadi.

Serbuan kira-kira pukul 11 malam itu dibuat selepas polis menerima aduan orang awam berhubung bunyi bising dari tingkat 19 unit kondominium terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, sebanyak lapan lelaki tempatan kesemuanya berumur antara 19 hingga 35 tahun ditahan selain tiga wanita warga Vietnam.

Menurutnya, mereka yang ditahan bekerja sebagai sebagai peniaga haiwan, pekerja kilang serta pekerja kedai barangan sejuk beku.

Beliau berkata, siasatan mendapati rumah tersebut di sewa dua lelaki dan wanita warga Vietnam yang merupakan pasangan kekasih.

“Ketika serbuan dilakukan difahamkan mereka baru selesai acara memotong kek serta sedang leka berparti dengan bunyi muzik yang kuat.

“Pemeriksaan mendapati sambutan hari lahir itu dianjurkan seorang daripada lelaki yang menyewa di situ untuk menyambut hari jadi teman wanitanya berusia 22 tahun dan dia kemudiannya mengajak enam lagi rakan lelakinya bagi meraikan bersama-sama,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Rahimi berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki yang menyewa rumah itu mengenali wanita Vietnam berkenaan ketika mengunjungi pusat hiburan sebelum ini dan tinggal sebumbung.

Ujar beliau, polis tidak menemui sebarang dadah di rumah tersebut ketika serbuan namun ujian air kencing mendapati empat lelaki positif dadah jenis methaphetamin manakala seorang wanita positif ketamin.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas speaker, belon dan perhiasan sambutan hari lahir tersebut dan mereka direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Rahimi menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Kita turut memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah agar tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Tiada ulasan: