Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata bukan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi wang kepada kerajaan untuk pengurusan negara dan pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 kepada rakyat.
Malah Najib yang dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah didapati bersalah atau tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International itu juga berkata, bukan juga Muhyiddin yang membuat suntikan vaksin kepada orang ramai.
“Pengurusan kerajaan dan program vasinasi tetap berjalan sebab bukan Muhyiddin yang keluarkan duit sendiri bagi kerajaan atau dia yang cucuk vaksin di pusat vaksinasi,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Beliau juga memberi contoh Perdana Menteri dan pemimpin Itali, Perancis, Slovakia, Mongolia, Tunisia, Nepal, Sweden dan India meletak jawatan dan mengambil tanggungjawab kerana gagal menangani Covid-19 dan kesan ke atas ekonomi.
Menurut bekas Presiden UMNO yang pada 2018 lalu didesak meletak jawatan susulan isu berbilion ringgit wang milik dana pelaburan Kerajaan Malaysia berada di dalam akaun peribadinya itu, pemimpin negara yang mengambil tanggungjawab untuk letak jawatan setelah hilang keyakinan rakyat dan hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen bukan satu perkara luar biasa pada zaman pandemik.
“Tiada kena-mengena dengan tidak berperikemanusiaan atau tidak peduli keadaan rakyat yang perlu diselamatkan,” katanya.
Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu berbilion-bilion ringgit wang dana pelaburan kerajaan – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) – telah hilang menjadi perhatian sebelum menjadi skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia.
Pada awalnya Najib menafikan terbabit dalam skandal itu walaupun didedahkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ). Malah tindakan politik luar biasa dilakukan terhadap pegawai kerajaan, termasuk melucutkan jawatan Peguam Negara ketika itu Tan Sri Gani Patail atas alasan kesihatan.
Skandal itu sebenarnya telah bermula sejak 2012 lagi. Berbilion-bilion ringgit dana negara mengalir keluar berputar-putar di seluruh dunia, terutama di Switzerland, Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat, tanpa disedari oleh rakyat Malaysia.
Selepas pendedahan beberapa media antarabangsa yang lengkap menunjukkan aliran wang itu, isu berkenaan menjadi semakin panas. Walaupun media arus perdana Malaysia mengetahui kes itu, tetapi atas arahan Najib isu berkenaan tidak boleh dimainkan.
Rentetan itu muncul desakan supaya Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad, antara individu yang disanjung tinggi dalam pentadbiran negara mendesak Najib meletak jawatan. Malah, ada dakwaan bahawa timbalan Najib, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mendesak beliau meletak jawatan.
Namun, Najib enggan berbuat demikian dan yakin akan mencapai kemenangan dalam PRU14, tatkala skandal 1MDB itu menjadi peluru utama blok pembangkang yang diketuai Dr Mahathir.
Akhirnya, Najib mengheret bahtera Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO untuk karam setelah belayar sejak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, gara-gara enggan meletak jawatan.
Apapun, setelah Muhyiddin meletak jawatan Perdana Menteri, beliau tidak akan diheret ke mahkamah atas apa-apa tuduhan jenayah, terutama menggelapkan wang negara, kerana sebagaimana dikatakan Najib – bukan Muhyiddin memberi wang kepada kerajaan untuk pengurusan negara dan pelaksanaan program vaksinasi Covid-19.
Dalam akaun bank peribadi Muhyiddin pun tidak adalah sehingga lebih RM2.67 bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan