Teka-teki siapa calon Perdana Menteri (PM) baharu sudah terjawab, cuma persoalan yang menjadi bualan warganet ketika ini sanggupkah Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang?
Jika Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjiwa besar sanggup melepaskan jawatannya kerana didakwa hilang majoriti sebelum diabsahkan, takkan Anwar mahu menunggu jawatan Ketua Pembangkang itu diabsahkan di Dewan Rakyat pula.
Impian untuk Anwar menjadi PM ke sembilan sudah terkubur dengan pengumuman petang tadi dari Istana Negara, ia menoktahkan tanda-tanya sejak peletakan jawatan Muhyiddin pada 16 Ogos lalu.
Adakah Anwar masih sanggup menunggu untuk menjadi PM ke-10, ke-11 atau ke-12 lagi selepas ini?
Rakyat perlu membuat semakan realiti atau dalam bahasa Inggerisnya ‘reality check’, ia bermakna satu peristiwa yang menyebabkan anda mempertimbangkan fakta mengenai sesuatu keadaan dan bukan pendapat, idea, atau kepercayaan anda sendiri.
Faktanya, Muhyiddin meletakan jawatan sebagai PM kerana bercakap benar selepas didakwa hilang majoriti ekoran komplot yang dirancang oleh Anwar bersama anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan 14 Ahli Parlimen UMNO yang lain mengikutnya atau dikenali sebagai kluster mahkamah.
Blok pembangkang mungkin cuba menukar naratif mengikut sedap hati mereka dengan mendakwa Muhyiddin sebagai punca kemelut politik, tetapi realiti dan faktanya ia adalah disebabkan Anwar yang terlalu gelojoh sanggup berkomplot dengan Zahid.
Penyokong pembangkang perlu bertanya kepada Anwar mengapa terlalu percayakan Zahid sehingga ditipu kemudiaannya, bukti dan fakta di depan mata, jangan cuba memutar-belit mengikut sedap hati.
Kalau mengikut penyokong fanatik Anwar seperti Datuk Mahfuz Omar dan Khalid Samad dari parti Amanah, sampai kiamat pembangkang akan kekal menjadi pembangkang.
Mahfuz dan Khalid juga pastinya tidak akan menerima realiti bahawa Anwar ditipu oleh Zahid, mereka berdua akan bermati-matian cuba mempertahankan Presiden PKR itu seperti Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang sayang kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Siapa yang membuat pakatan sulit dengan Zahid, sosok tersebut adalah Anwar. Fakta yang tidak akan boleh diputar belit mengikut suka hati.
Rakyat ditipu hidup-hidup dengan diberikan harapan kononnya blok pembangkang mempunyai majoriti, dalang sebenarnya adalah Anwar dan ia terbukti apabila sehingga kini tiada angka sahih yang didakwa dimilikinya boleh menjadikannya sebagai PM yang baharu.
Namun, adakah Anwar berani mengakui dirinya tidak ada majoriti seperti yang dilakukan oleh Muhyiddin semasa meletak jawatannya? Mengenali Anwar, hampir mustahil beliau akan membuat pengakuan tersebut.
Jauh panggang dari api untuk rakyat menyaksikan Anwar akan membuat pengakuan tersebut kerana beliau tahu rakyat akan melihatnya sebagai seorang penipu besar yang sentiasa memperdaya sesiapa sahaja demi matlamat peribadinya iaitu menjadi PM yang tidak tahu bila akan menjadi miliknya.
Namun, tidak boleh jika kita bandingkan Muhyiddin dengan Anwar kerana seorang yang berani bercakap benar tidak sama dengan seorang yang kaki kelentong.
Kepada Anwar, penghinaan kepada seorang anak ulama tidak akan dilupa rakyat yang sehingga kini sebak dengan peletakan jawatan Muhyiddin, sudah pasti rakyat akan mengingati Anwar sebagai punca pengunduran Muhyiddin kerana terlalu percayakan kleptokrat daripada seorang anak ulama.
Ingat Anwar, jikalau tidak berundur sekarang, percayalah rakyat akan menunjuk kepada kamu jalan keluar dalam pilihan raya nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan