Rabu, 18 Ogos 2021

Muhyiddin, anak ulama terkenal yang dikhianati berulang kali

Bapa bekas Perdana Menteri Malaysia Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tuan Guru Haji Muhammad Yassin bin Muhammad merupakan seorang ulama terkenal di Malaysia.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya perancangan di bawah dasar sedia ada, seperti pelaksanaan projek pembangunan, usaha menangani pandemik Covid-19, dan program pemulihan negara, perlu dikekalkan oleh kerajaan yang akan dibentuk dalam masa terdekat.

Titah baginda itu dibuat pada sesi menghadap ketua-ketua dan wakil-wakil parti politik di Istana Negara semalam, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya pada Isnin lalu.

Titah itu sekali gus menunjukkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, yakin dengan perancangan dasar yang disediakan itu.

Untuk rekod semua dasar yang baginda sebutkan itu diperkenalkan ketika pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin, anak seorang ulama tersohor yang telah dikhianati berulang kali dalam menempuh asam garam dunia politik tanah air.

Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 setelah membawa Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) yang dimonopoli DAP, susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Kerajaan PH.

Daripada titah ucapan Agong itu juga jelas membuktikan bukan dasar Kerajaan PN yang diperkenalkan di bawah pentadbiran Muhyiddin, terutama dalam mendepani pandemik Covid-19, yang salah, seperti mana sebelum ini digembar-gemburkan blok minoriti Ahli Parlimen (MP) UMNO pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan blok pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jika kita semua ingat bahawa pada 3 Ogos 2021 lalu, Zahid bersama 14 lagi MP UMNO menarik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin, dengan memberi alasan antaranya kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19, dan ianya disambut oleh blok pembangkang.

Alasan-alasan untuk menarik sokongan itu sebenarnya hanya ‘alasan’, sedangkan hal yang sebenarnya ialah dendam peribadi Kluster Mahkamah dan kelompok kleptokrat terhadap Muhyiddin.

Serangan itu disambut pula PH yang disokong parti-parti kecil diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Shafie Apdal dari parti Warisan di Sabah.

Mereka juga berdendam dengan Muhyiddin yang membawa keluar Bersatu daripada PH setelah Dr Mahathir meletak jawatan. Jika Muhyiddin tidak memulakan ‘Langkah Sheraton’, pasti Anwar sudah menjadi Perdana Menteri Kelapan.

Sebab itu agenda peribadi Kluster Mahkamah dan kleptokrat menjadi pencetus kepada serangan terhadap Muhyiddin dan kemudian disambut pula blok pembangkang. Mereka menjadikan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan angka kematian sebagai alasan bagi menunjukkan kerajaan PN gagal menangani masalah rakyat.

Mereka memperhebatkan serangan terhadap Muhyiddin setelah melihat agenda menyelamatkan negara dan rakyat daripada pandemik Covid-19 ini, terutama program vaksinasi yang semakin menunjukkan hasil membanggakan. Menurut laporan kes-kes jangkitan Covid-19 lebih tinggi membabitkan individu yang tidak divaksin.

Demikianlah serangan dilakukan oleh kleptokrat dan Kluster Mahkamah kerana Muhyiddin tidak membantu membebaskan individu tertentu daripada puluhan tuduhan jenayah di mahkamah – penyelewengan jutaan ringgit yang dilakukan ketika mereka berkuasa dalam pentadbiran negara.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) bergambar bersama Allahyarham 

bapanya Tuan Guru Haji Muhammad Yassin serta keluarga mereka.

Mengenali lebih dekat siapa bapanya, rakyat tidak terkejut apabila Muhyiddin juga tegas berpegang kepada prinsip, untuk tidak menggadai maruah dan ajaran Islam.

Allahyarham Tuan Guru Haji Muhammad Yassin bin Muhammad adalah seorang ulama terkenal sebaris dengan Tok Kenali dan Tok Selehong.

Ulama yang dikatakan mula mengajar ilmu agama seawal usia 21 tahun, dan merupakan anak kelahiran Tanjung Bidara, Melaka adalah pendakwah dan guru yang sangat gigih.

Allahyarham banyak mengajar di daerah Muar seperti di Masjid Jamek Muar, Masjid Parit Jamil, Masjid Seri Menanti, Masjid Bukit Gambir, Masjid Bukit Kangkar dan Masjid Sungei Mati Muar. Adakalanya, beliau mengajar sampai ke Chohong Melaka yang merupakan sempadan antara Melaka dan Muar.

Pengajaran beliau kebanyakannya tertumpu kepada kitab-kitab Tasawuf dan Ilmu Tauhid. Tuan Guru Haji Muhammad Yassin menadah kitab kepada ulama besar Muar satu ketika dahulu iaitu Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari bin Haji Ahmad bin Anggak bin Datuk Sijo Bukit Moh, Muar Bandar Maharani, Johor.

Sebab itu, Muhyiddin juga mempunyai didikan agama yang sangat kuat. Apa lagi abang beliau Allahyarham Ustaz Abdul Rahman Yassin (meninggal 2015) juga seorang pendakwah hebat.

Namun hakikatnya, kebencian, dendam, dan iri hati telah wujud sejak zaman Nabi Adam lagi, sebagaimana kisah Qabil dan Habil.

Nabi Muhammad SAW pun pada awal dakwah baginda dibenci, didendami, sehingga ada cubaan membunuh baginda. Demikian juga kisah Khalifah Umar al-Khattab yang ditikam dari belakang ketika beliau menjadi imam solat.

Menurut sesetengah riwayat, ketika diusung keluar dari masjid untuk dibawa ke rumahnya, Umar bertanya siapa yang menikamnnya, dan diberitahu lelaki Parsi bernama Firoz. Lalu Umar menjawab:

“Segala puji bagi Allah bahwa aku tidak dibunuh oleh seorang Muslim!” - AGENDA DAILY

(*) Tok Akhi
Pemerhati Politik Kampung

Tiada ulasan: