Kesesakan melampau! Nak 'walk-in' kena cara yang munasabah
BANGI – Gila! Jika beginilah situasi beratur dan bersesak untuk dapatkan vaksin, tidak mustahil ratusan lagi kluster boleh muncul selepas ini.
Demikian antara luahan kebanyakan pengguna media sosial hari ini, yang ‘geram’ melihat video tular memaparkan kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Rumah Prihatin Hotel Grand Season, Kuala Lumpur.
Menerusi satu video yang dikongsikan pengguna Twitter memaparkan orang ramai, termasuk warga asing beratur tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan melakukan penjaran fizikal.
Perkara itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen yang menyifatkan keadaan berkenaan tidak sepatutnya berlaku, kerana program vaksinasi secara walk-in sudah menetapkan SOP ketat.
“Buat apa buka PPV kalau macam ni, baik tutup segera. Beratus kluster baru akan tercetus nanti,” kata Aries Chin.
“Tidak mengikut SOP, penjarakan sosial tiada. Tempat juga tidak sesuai untuk walk-in vaksin. Ini penyumbang kes baru,” tulis Jack Andak.
Sebahagian netizen juga kecewa apabila kesesakan itu tidak dikawal dan dipantau pihak polis atau anggota Rela bagi memastikan pelaksanaan SOP dipatuhi.
Malah, netizen juga meminta kerajaan mengkaji semula SOP pemberian vaksin secara walk-in khususnya membabitkan warga asing.
“Sepatutnya perlu hadkan berapa orang sehari boleh diberi suntikan vaksin supaya tidak menyebabkan kesesakan melampau. Sehari 1,000 atau 2,000, jika lebih dihalau balik untuk temujanji esok pula,” kata Bonda Nyai.
“Walk-in memang tidak munasabah. Walk-in tiada jadual memang akan jadi sesaklah. Tolong sediakan hentikan idea pemberian vaksin secara walk-in,” kata Intan Suhana Ani.
Bagaimanapun, Polis Dang Wangi memaklumkan bahawa pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan pasukan pematuhan ke PPV itu bagi mengawal keadaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pasukan pematuhan mengawal keadaan di PPV berkenaan sehingga program vaksinasi itu selesai.
“Hebahan telah dibuat terhadap mereka yang hadir supaya membuat penjarakan sosial dan memakai pelitup muka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan