Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
Kenapa perlu diungkit jika idea asal kerjasama rentas parti politik ditolak?
BANGI – Cadangan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang supaya menubuhkan ‘Kabinet perang’, kononnya bagi melawan penularan wabak COVID-19 dianggap langkah terbelakang.
Ini kerana, Tan Sri Muhyiddin Yassin terlebih dahulu mengesyorkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan, namun ditolak mentah-mentah Pakatan Harapan (PH).
Sebelum ini, Kit Siang mencadangkan agar dua calon perdana menteri daripada dua gabungan iaitu PH dan PN membentuk satu ‘Kabinet perang’ dengan kedua-duanya memegang jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.
Dakwanya, ia melibatkan semua kuasa politik di Parlimen untuk memenangi perang melawan penularan wabak COVID-19 sebelum PRU15 dalam masa 18 bulan.
“Kabinet perang tersebut perlulah mencerminkan perpaduan Parlimen untuk mengubah nasib negara kita yang sedang kalah selama 20 bulan dengan wabak COVID-19 dengan membawa dasar dan strategi baru untuk mengawal wabak ini.
“… dan mengembalikan harapan, keyakinan, dan kepercayaan rakyat kepada satu pendekatan yang melibatkan ‘keseluruhan masyarakat’,” dakwanya.
Mengulas syor itu, penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff hairan mengapa perkara ini dibangkitkan pembangkang walhal sebelum ini ditolak.
“Jadi kenapa hal ini perlu diungkitkan kembali sekiranya idea asal kerjasama rentas parti-parti politik telah ditolak?
“Pandangan saya, eloklah pelantikan perdana menteri dan penubuhan Kabinet nanti berdasarkan Perlembagaan Persekutuan yang memilih seorang perdana menteri dalam kalangan anggota Parlimen yang memiliki majoriti.
“Terserah kepada perdana menteri tersebut memilih dan menubuhkan Kabinetnya berdasarkan keperluan dan persefahaman sesama parti yang menyokong perdana menteri itu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, Kabinet pentadbiran di bawah perdana menteri baharu perlu memperlihatkan nilai kebertanggungjawaban yang efektif, cekap dan dapat mengembalikan keyakinan rakyat dalam menyelesaikan kemelut pandemik COVID-19.
Pada masa sama, melaksanakan Pelan Pemulihan Negara dengan cekap dan sistematik serta mewujudkan keadaan negara yang kondusif, aman sejahtera di samping mengembalikan keyakinan para pelabur asing terhadap perkembangan ekonomi domestik negara.
“Dalam erti kata lain, politik mereka seharusnya mengutamakan keperluan pembelaan nasib rakyat dan memastikan tidak berlakunya kecelaruan dan krisis politik yang boleh merosakkan imej dan reputasi negara seperti mana yang terjadi sebelum ini.
“Selain itu, Ahli-Ahli Parlimen harus mendukung institusi Raja Berpelembagaan sebagai tonggak sistem Perlembagaan negara.
“Mereka harus hormat instutusi raja di negara ini serta berpegang kepada prinsip Rukun Negara,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan