Firdaus Azil

Ismail
Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera disifatkan sebagai calon yang
bersih, tidak mempunyai kontroversi, serta boleh diterima rakyat. -
Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob adalah calon tunggal Perdana Menteri daripada
Barisan Nasional (BN).
Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Pontian itu menerusi ciapan di laman Twitter sebentar tadi.
“Berpadu bersama Presiden #UMNO DS @DrZahidHamidi, Timbalan DSU @tokmatn9, Penasihat #BN DS @NajibRazak & Ahli2 MKT UMNO.
“Dihantar
hanya satu nama sbg calon #PerdanaMenteri oleh #AhliParlimen UMNO/BN
pada 17/8/21 iaitu DS @IsmailSabri60 MP #Bera. Moga Allah SWT memberkati
usaha kami,” katanya.
Astro AWANI sebelum
ini, melaporkan beberapa Ahli Parlimen BN, memberitahu parti itu akan
mencalonkan Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana
Menteri seterusnya.
Mereka berkata, Ahli Parlimen Bera itu merupakan calon yang bersih, tidak mempunyai kontroversi, serta boleh diterima rakyat.
Ahli
Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika ditemui media
berkata, Ismail Sabri merupakan calon yang layak untuk memegang jawatan
tersebut.
“Secara teknikalnya, beliau merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri, dan merupakan Naib Presiden UMNO. He should be next in line,” katanya selepas selesai menghadiri mesyuarat Ahli-ahli Parlimen BN di Menara Dato Onn di sini, malam ini.
Sumber memaklumkan kepada Astro AWANI,
Ismail Sabri telah memperoleh sebanyak 41 akuan berkanun (SD) daripada
Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN, dengan hanya Ahli Parlimen Gua Musang
Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak menandatangani SD tersebut.
Selain
itu, Ismail Sabri dijangka akan memperoleh sokongan keseluruhan
sebanyak 114 Ahli Parlimen, melebihi majoriti yang diperlukan dalam
Dewan Rakyat.
Selain itu, Astro AWANI
difahamkan, terdapat sebilangan Ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan
Sarawak yang turut menyokong Ismail Sabri untuk menjadi Perdana Menteri
seterusnya.
Pada Isnin, Yang di-Pertuan
Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah
memperkenan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana
Menteri, serta semua Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta.
Susulan
peletakan jawatan itu itu, Baginda memberi perkenan agar Muhyiddin
menjadi Perdana Menteri sementara sebelum Perdana Menteri Baharu
dilantik.
Kerajaan Perikatan Nasional
(PN) di bawah pentadbiran Muhyiddin tumbang selepas 15 ahli UMNO menarik
sokongan terhadap Kerajaan PN.
Dalam
pada itu, Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein
berkata, beliau berharap keputusan yang dicapai malam ini dapat
menghentikan segala kemelut politik yang melanda, di saat negara dilanda
pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi yang berlarutan.
“Cukup-cukuplah berpolitik. Kita ada banyak kerja nak dilakukan,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan