KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) telah menyalurkan bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara dengan jumlah RM18 bilion yang memanfaatkan 11 juta penerima.
Menurut Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan juga buat pertama kali turut membantu golongan M40 yang turut terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.
“Inilah bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara. Buat pertama kalinya juga, Kerajaan turut membantu isi rumah M40 yang telah turut terkesan dengan pelaksanaan PKP pada tahun lepas.
“Bantuan BPN telah banyak memberi kelegaan kepada rakyat malah ada juga yang menggunakannya sebagai modal untuk berniaga kecil-kecilan.
“Kini, di bawah pakej PEMULIH (Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi), Kerajaan terus membantu rakyat kumpulan B40 dan M40 melalui tiga lagi program bantuan tunai iaitu Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Khas Covid-19 dan Bantuan Kehilangan Pendapatan.
“Bayaran di dalam separuh kedua tahun 2021 di bawah ketiga-tiga program ini bernilai RM10 bilion.
“Insha-Allah setiap bulan mulai bulan Julai hinggalah Disember, bantuan Kerajaan adalah berterusan bagi mengurangkan kos sara hidup mereka,” ujarnya ketika memberi penerangan di Sidang Khas Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah beliau, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) merupakan sebuah inisiatif bantuan tunai dengan kadar antara RM450 hingga RM2,300 untuk 8.4 juta penerima B40.
Sementara itu, Bantuan Khas Covid-19 (BKC) adalah bantuan tunai secara one-off di bawah pakej PEMULIH yang akan memanfaatkan 11.4 juta penerima.
Istimewanya, penerima BKC merupakan penerima BPR sedia ada dan layak diterima secara automatik, malah turut dinikmati oleh kumpulan M40, kata beliau.
“Insya-Allah, BKC pada kadar antara RM250 hingga RM1,300 akan mula disalurkan pada bulan Ogos, November dan Disember.
“Bantuan Kehilangan Pendapatan yang berjumlah RM500 akan diberikan kepada mana-mana individu yang telah diberhentikan kerja atau tiada lagi caruman di KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) ataupun PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial), sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut sepanjang tahun 2021. Pembayaran akan dibuat pada bulan Oktober nanti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan