Isnin, 23 Ogos 2021

Hormat, iktiraf hak berhimpun secara aman, gesa SUHAKAM

facebook sharing button
twitter sharing button
whatsapp sharing button
email sharing button
Beberapa peserta dilaporkan diperlakukan dengan kasar ketika menghadiri
Beberapa peserta dilaporkan diperlakukan dengan kasar ketika menghadiri 
perhimpunan di Dataran Merdeka untuk memperingati mereka yang meninggal 
dunia akibat Covid-19.

PETALING JAYA: Polis mesti menghormati dan mengiktiraf hak rakyat untuk berhimpun secara aman, umum atau persendirian bagi mempertahankan kepentingan bersama sebagai hak asasi manusia, gesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Suruhanjaya itu berkata tiada halangan seharusnya dikenakan terhadap pelaksanaan hak itu melainkan menurut undang-undang, sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 21 Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR).

“SUHAKAM amat bimbang dengan tindakan pihak polis yang berlebihan terhadap perhimpunan dan hak rakyat untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Suruhanjaya itu menyebut penahanan 31 belia hanya kerana memperingati mereka yang kehilangan nyawa akibat Covid-19, dan penutupan jalan utama dan pengangkutan awam menghala ke Kuala Lumpur dan Dataran Merdeka berikutan perhimpunan kedua #Keluar dan #Lawan yang telah pun dibatalkan.

“Tindakan ini tidak selari dengan negara sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk membenarkan dan memudahkan rakyat, sebagai pemegang hak untuk berhimpun secara aman.”

SUHAKAM berkata terdapat laporan bahawa peserta perhimpunan telah ditangkap secara paksa dan dibawa ke balai polis tanpa dimaklumkan mengenai hak mereka atau sebab-sebab tangkapan serta tidak diberikan akses kepada wakil peguam.

“Ini jelas menunjukkan bahawa hak perlembagaan mereka telah dicabul di bawah Perkara 5 dan 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Suhakam mengulangi bahawa adalah menjadi tanggungjawab polis untuk memudahkan hak rakyat untuk berhimpun sepertimana yang disaksikan oleh suruhanjaya itu semasa perhimpunan #Keluar dan #Lawan pada 31 Julai lalu.

Tambahnya, dengan kerjasama yang baik antara polis dan penganjur, rakyat akan dapat menikmati hak untuk berhimpun secara aman dan hak untuk bersuara akan dicapai sepenuhnya.

Minggu lalu, seramai 17 peserta lelaki dan 14 wanita yang mengambil bahagian dalam himpunan itu ditahan dan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Antara peserta yang ditahan adalah penganjur #Lawan Mohammad Asraf Sharaf, pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri, dan Sarah Irdina Mohamad Ariff yang juga pengasas kumpulan belia, Misi Solidariti.

Sebilangan besar daripada mereka dilihat diperlakukan dengan kasar dan dibawa masuk ke dalam trak Black Maria yang sedang menunggu.

Tiada ulasan: