Isnin, 9 Ogos 2021

750 petugas kesihatan di Kedah dijangkiti Covid-19

 Oleh NORLIDA AKMAR IDROS

Seramai 750 petugas kesihatan di Kedah dijangkiti Covid-19 sejak tahun lalu. - Gambar hiasan Foto SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah merekodkan seramai 750 orang petugas di kemudahan kesihatan awam dan swasta di negeri ini dijangkiti Covid-19 sejak tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo berkata, jumlah jangkitan melibatkan petugas kesihatan meningkat kepada 665 kes pada tahun ini sehingga 31 Julai lalu berbanding 85 kes pada tahun lepas.

“Sebanyak 85 kes berlaku pada tahun lalu dengan kadar insiden 0.36 peratus daripada keseluruhan petugas kesihatan di Kedah.

“Data sehingga 31 Julai lalu pula merekodkan 665 kes atau kadar insiden 2.83 peratus petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 dengan pertambahan kadar itu adalah selari dengan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, analisis lanjut data kes pada tahun ini menunjukkan petugas kesihatan yang disahkan positif melibatkan semua peringkat umur antara 20 hingga 60 tahun dengan 69 peratus terdiri daripada wanita.

“Kumpulan perjawatan utama yang paling ramai dijangkiti ialah daripada perkhidmatan sokongan sebanyak 4.8 peratus, penolong pegawai perubatan (3.9 peratus), kejururawatan (3.3 peratus dan pegawai serta pakar perubatan (3 peratus),” ujarnya.

Menurutnya, analisis selanjutnya menunjukkan 99.7 peratus daripada kes sepanjang tahun ini adalah bergejala ringan atau tanpa gejala.

“Tiada kematian berkaitan Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan dilaporkan sehingga 31 Julai lalu dengan pecahan kes mengikut tahap klinikal adalah kategori satu (tanpa gejala) 299 kes (44.9 peratus) dan kategori 2 (gejala ringan) 364 kes (54.7 peratus).

“Seterusnya kategori 3 (jangkitan paru-paru) satu kes (0.2 peratus), kategori 4 (perlu bantuan oksigen) satu kes (0.2 peratus) dan tiada kes bagi kategori lima (perlu bantuan pernafasan),” jelasnya.

Tambahnya, rekod JKN juga menunjukkan 59 peratus daripada kes tersebut mendapat jangkitan di luar tempat.

“Jangkitan di tempat kerja bagaimanapun masih berlaku dan memerlukan penambahbaikan segera,” katanya. – K! ONLINE

Tiada ulasan: