Selasa, 13 Julai 2021

Polis siasat dakwaan jual janji temu vaksin, kata Khairy

Khairy Jamaluddin berkata, garis panduan pemantauan vaksin akan mengelakkan 
penyalahgunaan kuasa dalam pemberian vaksin.

PETALING JAYA: Polis sedang bekerjasama dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk menyiasat dakwaan individu menjual slot janji temu vaksinasi mereka, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, CITF bekerjasama dengan polis berhubung isu itu sejak bulan lalu dan perkembangan baharu akan dimaklumkan polis.

Katanya, pasukan petugas integriti dan siasatan yang dianggotai CITF, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sudah ditubuhkan.

Beliau berkata, garis panduan pemantauan vaksin dan “senarai menunggu” sudah dirangka serta dilaksanakan di semua pusat vaksinasi bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa dalam pemberian vaksin.

Mengenai dakwaan vaksin tamat tempoh diberikan kepada penerima, katanya, perkara itu tidak benar, sebaliknya ia berpunca daripada kesilapan ketika memasukkan data individu.

“Tarikh luput dos kedua vaksin yang ditulis dalam aplikasi MySejahtera individu sebenarnya ialah tarikh luput dos pertama. Fakta ini disokong beberapa dokumen.

“Kesilapan merekodkan data menyebabkan ini berlaku dan tarikh luput sebenar vaksin akan dikemas kini dalam MySejahtera individu.”

Khairy turut mengingatkan orang ramai yang sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dan sedang menunggu keputusan supaya mengelakkan ke pusat pemberian vaksin (PPV), sama ada untuk vaksinasi atau menemani penerima vaksin.

“Saya turut mengarahkan setiap PPV melakukan pemeriksaan lebih teliti di setiap pintu masuk PPV untuk memastikan individu dengan status berisiko tinggi tidak dibenarkan masuk.”

Tiada ulasan: