PETALING JAYA – Pergolakan politik ketika ini membuat rakyat muak dan menganggap fokus utama kerajaan ketika ini lebih kepada kepentingan parti semata-mata.
Di saat jangkitan kes Covid-19 makin meningkat, media sosial kecoh sejak petang semalam dengan pelantikan mengejut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.
Tidak cukup dengan itu, ditambah pula dengan Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi yang memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.
Seorang netizen dikenali sebagai Boneka Pentas berkata, tindakan pemimpin politik ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19 yang dilihat semakin teruk, tidak sepatutnya berlaku.
“Berpolitik biarlah menyatukan, bukan memecahkan. Membina, bukan meruntuhkan. Tidak habis-habis politik dari PKP 1.0 smpai sekarang. Esok semua media besar akan siarkan berita politik sahaja,” katanya.
Seorang lagi netizen dikenali sebagai Zalehan pula berkata, dalam keadaan Covid-19 semakin mengganas ini, bukan semudah itu sahaja negara boleh mendapat Perdana Menteri yang mampu mengawal keadaan Covid-19 ketika ini.
Sementara itu, Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, sidang media MKT UMNO malam tadi tidak menunjukkan secara undang-undangnya bahawa kerajaan telah tumbang.
“Jika mahu tarik kepercayaan kepada Perdana Menteri dia kena ada bukti, bukan setakat adakan sidang media.
“Perlu ada pembuktian dari segi dokumentasi. Bukan parti yang boleh tarik kepercayaan majoriti ini, sepatutnya dari setiap ahli parlimen kerana untuk layak menjadi Perdana Menteri hendaklah mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! tadi. – K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan