Jumaat, 2 Julai 2021

Pengorbanan belajar bawah pokok kelapa buahkan kejayaan

Oleh Essa Abu Yamin
Intan Nurhidayah bersama ayahnya, Lim Abdul Rahman, 59, menunjukkan keputusan STPM 2020 yang diperoleh. - Foto ihsan Intan Nurhidayah Lim
Intan Nurhidayah bersama ayahnya, Lim Abdul Rahman, 59, menunjukkan keputusan STPM 2020 yang diperoleh. - Foto ihsan Intan Nurhidayah Lim

BATU PAHAT: "Saya terpaksa duduk di bawah pokok kelapa di hujung kampung untuk mendapatkan capaian Internet yang baik supaya tidak ketinggalan mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam talian."

Pengorbanan pelajar Orang Asli daripada suku kaum Jakun, Intan Nurhidayah Lim, 20, ternyata tidak sia-sia apabila berjaya mencatat keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020.

Demi memburu cita-cita, beliau memasuki Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Sulaiman walaupun terpaksa berulang alik hampir 28 kilometer dari rumah di Kampung Kangkar Senangar, di sini.

"Bahan tambahan dan buku rujukan juga sukar diperoleh, menyebabkan saya perlu berusaha lebih daripada biasa.

"Namun, saya menganggap semua itu sebagai pembakar semangat dan membuktikan mampu berjaya walaupun terpaksa menghadapi cabaran dan kesusahan," katanya yang juga anak kepada pesara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Intan Nurhidayah berkata, beliau juga memfokus kepada pengajaran disampaikan dan sentiasa menghormati keluarga serta guru.

"Selain itu, saya lebih gemar belajar sendiri pada waktu malam kerana keadaan tenang.

"Solat dan doa juga perlu seiring dengan usaha supaya kejayaan diperoleh lebih berkat," katanya.

Tiada ulasan: