DUNGUN: Tindakan syarikat penyedia aplikasi penghantar makanan mengenakan caj perkhidmatan antara 20 hingga 38 peratus kepada pengguna, dianggap keterlaluan dan membebankan orang ramai.
Ini kerana tindakan itu menyebabkan harga makanan perlu dibayar pengguna menjadi mahal berbanding biasa, manakala caj bayaran dikenakan pula diperoleh sepenuhnya syarikat terbabit.
Susulan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata kerajaan memandang serius perkara berkenaan dan berusaha mengatasinya bagi mengelak pengguna terus teraniaya.
Beliau berkata, pihaknya akan membuat pertemuan dengan pengusaha makanan, restoran, penyedia aplikasi penghantar makanan dan pengguna bagi membincangkan perkara berkenaan.
"Tindakan penyedia aplikasi penghantar makanan mengenakan caj kepada pengguna yang menggunakan perkhidmatan mereka dengan kadar antara 20 hingga 38 peratus sangat membebankan pengguna.
"Ini menyebabkan makanan dibeli lebih mahal berbanding harga biasa. Caj dikenakan itu pula bukan diperoleh pengusaha kedai makan atau restoran, sebaliknya dikutip sepenuhnya oleh syarikat penghantaran itu.
"Jadi, kita akan mengadakan pertemuan segera dengan semua pihak terbabit bagi mencari penyelesaian mengenainya. Perbincangan itu ditangguhkan sebelum ini akibat penularan COVID-19," katanya selepas Program Sumbangan Bank Makanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada penduduk Hulu Dungun di Dewan Serbaguna Kampung Pasir Raja, di sini, hari ini.
Sementara itu, Rosol berkata, seramai 292 penerima dari 12 kampung termasuk 50 petugas barisan hadapan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) layak menerima sumbangan barangan makanan.
"Semua penerima adalah mereka yang terkesan teruk kerana banjir akhir tahun lalu, selain penduduk yang kesusahan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0," katanya.
Rosol berkata, program berkenaan akan diteruskan di kawasan lain di negeri ini bagi meringankan beban penduduk sepanjang negara dilanda pandemik COVID-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan