Sabtu, 10 Julai 2021

Lonjakan kes di Lembah Klang, KKM tubuh pasukan bertindak khas

Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat persediaan sebelum memberikan suntikan vaksin kepada sebahagian penduduk-penduduk yang kini berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mentari Court, Petaling Jaya, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PASUKAN Bertindak Khas “Greater Klang Valley” diwujudkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memantapkan tahap kesiapsiagaan sistem kesihatan di Lembah Klang dalam mengurus pandemik COVID-19.

Dr Adham Baba./ Gambar media sosial

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pasukan khas yang mula beroperasi Khamis lepas dan diketuai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong.

Katanya, jawatankuasa itu berperanan untuk menangani segera situasi semasa di Selangor dan Kuala Lumpur serta kawasan bersempadan, terutama dalam isu kekurangan katil dan sumber manusia.

“Walaupun dipanggil ‘Greater Klang Valley’, kita akan masukkan juga kawasan selatan Perak, barat Pahang dan utara Negeri Sembilan dan di situ (di setiap kawasan tersebut) terdapat pusat arahan yang akan menyalurkan maklumat pada pasukan bertindak khas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung langkah kesiapsiagaan dan strategi KKM mengurus pandemik di Lembah Klang, di Putrajaya hari ini.

Susulan pelantikan Chee Keong untuk mengetuai pasukan bertindak itu, Dr Adham berkata, peranan beliau dalam Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) akan diganti oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Katanya, pasukan bertindak itu akan memastikan kesiapsiagaan semua hospital KKM dan operasi perkhidmatan swasta yang terlibat dalam rawatan COVID-19, bagi mengurus pandemik itu secara holistik dan sebaiknya.

Selain itu, Dr Adham berkata pasukan itu juga bertanggungjawab dalam membuat persiapan rapi bagi menghadapi tempoh tamat Ordinan Darurat, pada 1 Ogos ini.

Ini berikutan, KKM ketika ini menggunakan pelbagai fasiliti milik agensi dan kementerian dalam tempoh pelaksanaan ordinan dan apabila tempoh darurat tamat, kemudahan itu perlu dipulangkan kepada pihak terbabit.

Beliau memberi contoh Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, yang kini digunakan untuk merawat pesakit COVID-19, perlu kepada rundingan semula supaya hospital itu boleh terus digunakan selepas Ordinan Darurat tamat.

Sementara itu, Chee Keong berkata, pasukan itu menumpukan usaha mengekang penularan COVID-19 di kawasan Lembah Klang serta kawasan bersempadan kerana mengambil kira pergerakan orang ramai.

“Berikutan peningkatan kes, terdapat keperluan mendesak untuk memastikan keperluan seperti katil, peralatan, sumber manusia dan yang berkaitan dengan pengurusan kes mencukupi,” katanya.

Tiada ulasan: