Ahad, 18 Julai 2021

3 aktivis dikompaun RM2,000 sertai bantahan bendera hitam

Malaysiakini

Tiga aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat dikenakan kompaun RM2,000 susulan menyertai bantahan 'flash mob' di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam.

SSR berkata, Mohammad Alshatri Abdullah, Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar dan Muhammad Nur Taufiq Azhar dikenakan kompaun selepas kira-kira tiga jam memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Kompaun dikeluarkan atas kesalahan mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang melarang perhimpunan.

Mohamad Alshatri ketika dihubungi mengesahkan kompaun tersebut.

Dia juga berkata pihaknya sedang menimbang sama ada untuk mencabar kompaun tersebut di mahkamah atau tidak.

"Kami juga merasakan pengeluaran kompaun sejurus selepas dipanggil beri keterangan pada polis menunjukkan dua darjat antara rakyat biasa dan para pemimpin politik, yang mana siasatan dijalankan terlebih dulu sebelum kompaun dikeluarkan," katanya.

Katanya lagi, pihaknya akan sentiasa sedia bekerjasama dengan polis tetapi berharap tiada "perbezaan prosedur operasi standard (SOP)" antara rakyat dan ahli politik.

"Kami akan umumkan langkah seterusnya dalam masa terdekat," katanya lagi.

Himpunan semalam diadakan bagi menyuarakan bantahan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan gagal menangani wabak Covid-19.

Himpunan tersebut juga membangkitkan tiga tuntutan, iaitu agar Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, sidang Parlimen akan diadakan secara penuh dan moratorium diperluaskan kepada semua.

Sementara itu, Parti Ikatan Demokratik (Muda) dalam kenyataan menyifatkan kompaun tersebut sebagai amalan dua darjat dalam penguatkuasaan SOP.

"Peserta protes #KeluardanLawan mematuhi SOP kesihatan dan bersuara untuk rakyat terhadap kerajaan yang gagal.

"Jika mahu hukum kesalahan SOP, biarlah adil, saksama dan tidak berbeza-beza antara rakyat dan menteri," kata Muda, sambil membangkitkan masa yang diambil sebelum Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dikenakan kompaun kerana melanggar SOP.

Dalam pada itu, SSR berkata kompaun yang dikenakan itu tidak akan menghentikan pihaknya daripada mengadakan protes pada masa akan datang.

"Kami juga masih berpegang teguh kepada tiga tuntutan terhadap kerajaan PN, iaitu agar Muhyiddin letak jawatan selaku perdana menteri, sidang parlimen penuh diadakan serta moratorium automatik untuk semua," katanya.

NGO Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) pula menegaskan rakyat tetap tetap ada hak untuk bebas bersuara dan menyertai himpunan aman, walaupun di tengah-tengah wabak.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy berkata, penularan Covid-19 terus meningkat walaupun dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dan penguatkuasaan darurat.

Pada masa sama, katanya, tindakan terhadap mereka yang bersuara terus meningkat, terutama menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan 'ordinan berita palsu' (Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021).

"Dalam konteks politik inilah SSR menganjurkan flash mob semalam.

"Suaram sekali lagi menyuarakan sokongan kepada SSR dan berpendirian kompaun yang dikeluarkan adalah satu bentuk intimidasi yang jelas bertentangan dengan prinsip kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Tiada ulasan: