Rabu, 23 Jun 2021

Tiga bulan tidur duduk, suami hidap sakit misteri tak mampu cari nafkah

Oleh MASTURAH SURADI
ROHA Ali (kiri) menunjukkan kaki suaminya, Mohd. Nazri Abd. Aziz yang membengkak selepas terjatuh sehingga menyebabkan kini tidak mampu berjalan ketika ditemui di rumah mereka di Taman Desa Sejahtera, Kota Tinggi, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI

KOTA TINGGI: Seorang suami lebih setahun tidak dapat keluar mencari nafkah selepas kedua-dua kakinya yang membengkak selepas mengalami penyakit misteri akibat terjatuh tahun lepas.

Mohd. Nazri Abd. Aziz, 51, sebelum ini bekerja di sebuah syarikat besi buruk sebelum terjatuh ketika sedang bekerja sehingga terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan akibat pergerakannya terbatas.

Katanya, keadaannya semakin memburuk selepas dia sekali lagi terjatuh di rumahnya sehingga menyebabkan terus tidak boleh berjalan sendiri.

“Kalau sebelum ini saya boleh berjalan dengan bantuan tongkat, namun, selepas terjatuh kali kedua, kaki saya terus semakin membengkak dan membesar terutama pada kaki kanan.

“Memang ada dapatkan rawatan hospital kerana risau juga jika akibat kencing manis atau sebagainya, tapi doktor memaklumkan saya tidak ada apa-apa penyakit.

“Doktor menyarankan agar saya mencuba rawatan tradisional. Namun, keadaan sekarang hendak bergerak pun susah. Anak-anak dan isteri pula tidak pandai memandu kereta,” katanya ketika ditemui di Taman Desa Sejahtera di sini, semalam.

Kata Mohd. Nazri, ekoran keadaan dirinya yang susah untuk bangun selepas berbaring, dia kini sudah lebih tiga bulan tidur dalam keadaan duduk di sofa.

Sementara itu, isterinya, Roha Ali, 51, berkata, selepas suaminya tidak boleh bekerja, dia hanya mengharapkan wang simpanan selain bantuan daripada adik beradik yang banyak memberikan sumbangan dari segi kewangan.

Katanya, dia merupakan suri rumah sepenuh masa dan tidak boleh bekerja meninggalkan suaminya kerana Mohd. Nazri memerlukan bantuan sepenuh masa.

“Suami kini makan perlu disuap kerana tangannya juga semakin membengkak sehingga hendak pegang sudu atau nasi pun tidak mampu. Dia tidak pakai lampin pakai buang, jadi, apabila buang air kecil dia akan buang di dalam botol.

“Manakala untuk buang air besar saya dan juga dua anak berusia 14 dan 16 tahun perlu memapahnya ke bilik air dan menggunakan kerusi biasa yang ditebuk untuk suami duduk di bilik air,” katanya.

Tambah Roha, dia kini hanya berharap pada anak-anaknya yang boleh menunggang motosikal sekiranya mahu membeli keperluan harian. Jelasnya, sejak suami tidak bekerja, mereka juga hanya mengalas perut dengan apa sahaja makanan yang ada sekali pun terpaksa makan berlauk telur setiap hari.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh salurkan ke akaun Bank Rakyat Roha 22-033-139645-2 bagi meringankan beban keluarga tersebut. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: