Ahad, 20 Jun 2021

Tiada pelan pemulihan dijamin 100 peratus sempurna

KUALA LUMPUR: Tiada pelan pemulihan yang dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan di dunia dapat menjamin 100 peratus kepastian dan kesempurnaan, termasuk di Malaysia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pelan pemulihan negara lain seperti United Kingdom dan Singapura berhadapan dengan kesukaran, malah terpaksa ditunda akibat penularan varian baharu COVID-19 yang lebih mengancam nyawa seperti varian Delta.

Beliau berkata, walaupun negara terbabit mengecapi kejayaan awal, mereka kini terpaksa mengharungi cabaran lain melalui kenaikan kes harian baharu.

Justeru, tegasnya, Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan adalah langkah dinamik yang dilaksanakan kerajaan untuk membendung impak ekonomi dan kesihatan disebabkan oleh pandemik COVID-19.

"Ini bagi membolehkan kerajaan bertindak dengan tangkas serta pantas bagi membolehkan negara kekal relevan berdasarkan situasi semasa," katanya pada sidang media khas bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, secara maya, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, negara lain turut menyemak semula pelan pemulihan mereka dan ada antaranya menangguhkan perancangan yang dilaksanakan.

"Pendekatan yang diambil setiap negara adalah dengan mengambil kira situasi terkini pandemik COVID-19. Tiada isu pelan pemulihan ini akan gagal atau sebaliknya, namun lebih kepada bagaimana cara kita menangani serta menyesuaikan diri setiap masa.

"Bagi Malaysia, jika indikator utama dalam PPN dapat dicapai lebih awal, ia akan membolehkan negara bergerak ke arah fasa yang seterusnya dengan pantas.

"Fokus utama adalah mencapai sasaran dengan lebih awal, justeru ia memerlukan komitmen bersama semua pihak. Ini membolehkan kita mencapai sasaran dengan tujuan yang sama," katanya.

Tengku Zafrul menambah, PPN yang dilaksanakan kerajaan adalah penting bagi membolehkan rakyat dan perniagaan membuat perancangan yang sewajarnya, dengan memperincikan hala tuju serta membuka jalan keluar daripada krisis COVID-19.

Beliau berkata, dengan kata lain, ia memberi sinar di hujung terowong kepada rakyat, perniagaan dan kerajaan berlandaskan indikator yang jelas serta mudah difahami.

"Semua pihak dapat bersama mendokong usaha ke arah peralihan dari satu fasa ke fasa yang seterusnya, sehingga negara beralih keluar daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya

Tiada ulasan: