Sabtu, 12 Jun 2021

Suami kejam dicekup selepas 38 hari

 Oleh KOSMO!

SUSPEK (kanan) ditahan polis ketika keluar membeli makanan di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.

PETALING JAYA – Seorang lelaki yang menjadi buruan polis selepas disyaki memukul isteri­nya sehingga koma dalam keja­dian di Johor pada 4 Mei lalu terpaksa hidup merempat dengan menumpang rumah kenalan selama 38 hari semata-mata mahu mengelak daripada dicekup pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kelicikan ­suspek berusia 38 itu berakhir jua apabila dia ditahan polis semasa keluar membeli makanan dengan menunggang motosikal di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Tangkapan ke atas lelaki itu adalah hasil risikan sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sejak beberapa hari lalu.

Sumber berkata, semasa tangkapan dibuat, suspek turut bertindak agresif apabila me­langgar motosikal yang ditunggang anggota polis.

“Berlaku pergelutan di lokasi tersebut, namun tiada anggota yang mengalami kecederaan,” kata sumber kepada Kosmo! di sini semalam.

SUSPEK dipercayai bersembunyi di rumah kenalannya 
di Kuala Lumpur selama 38 hari.

Menurut sumber itu, suspek yang berasal dari Alor Setar dan bekerja sebagai peniaga pakaian di pasar malam dipercayai bersembunyi di kawasan tersebut dengan menumpang rumah kenalannya sepanjang 38 hari menjadi buruan polis Johor.

Katanya, sebaik ditangkap, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Ujian saringan air kencing ke atas lelaki itu dijangka dijalankan di IPD berkenaan.


MANGSA mula menunjukkan pemulihan selepas dibawa 
pulang ke rumahnya di Sungai Udang, Melaka pada 30 Mei lalu.

Kosmo! pada 17 Mei lalu me­laporkan, seorang isteri yang juga penjawat awam berusia 43 tahun di Johor terpaksa bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas dipercayai dibelasah suaminya pada 4 Mei.

Lebih malang, mangsa yang ketika itu mengandung empat minggu telah dihantar ke HSA oleh rakan suaminya, manakala suspek melarikan diri ke Lembah Klang.

Mangsa yang baru tujuh bulan bernikah dengan suspek menga­lami kecederaan parah dengan tengkorak kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipercayai dipukul.

Berita berkaitan: Isteri hamil parah dibelasah suami 

Kejadian berlaku semasa mangsa berada di rumahnya di sebuah pangsapuri di Larkin.

Mangsa bagaimanapun dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban sebelum dibawa pulang ke rumah keluarganya di Sungai Udang, Melaka pada 1 Jun lalu.

Walaupun masih tidak sedarkan diri, namun keadaan wanita itu dilaporkan stabil.

Susulan kejadian itu, polis te­lah mengedarkan gambar suami mangsa bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Tiada ulasan: